BN lihat keperluan penjenamaan semula, tampil lebih progresif, inklusif - Zambry

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) melihat keperluan penjenamaan semula gabungan itu agar tampil lebih progresif dan inklusif, selari dengan aspirasi rakyat pada masa kini tanpa meninggalkan asas perjuangan serta nilai teras gabungan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu antara fokus utama yang ditekankan dalam permukiman kepimpinan BN yang diadakan baru-baru ini sebagai wadah memperkukuh kesepaduan, merangka langkah strategik ke hadapan serta menyatukan tekad seluruh parti komponen dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Beliau berkata, penjenamaan semula itu perlu digerakkan berteraskan politik berimbang, moderat dan berasaskan musyawarah.
"Sepanjang sesi perbincangan yang berlangsung secara terbuka dan penuh kejujuran, seluruh pimpinan sebulat suara menegaskan komitmen untuk memelihara perpaduan, memperkukuh kesatuan dalaman serta memastikan BN terus relevan sebagai pilihan terbaik dalam landskap politik negara yang dinamik dan mencabar.
"Pimpinan BN turut bersepakat bahawa usaha konsolidasi politik mesti dilaksanakan secara tersusun, realistik dan berpaksikan perkembangan politik semasa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Permukiman berkenaan menghimpunkan pimpinan utama parti komponen BN iaitu UMNO, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Progresif Penduduk (PPP) serta presiden Friends of BN.
Zambry berkata, kehadiran penuh pimpinan utama parti komponen mencerminkan semangat kebersamaan yang utuh dan kesungguhan bersama untuk terus menyuburkan kekuatan gabungan itu, sekali gus memperlihatkan komitmen jelas bahawa BN kekal sebagai landasan penting dalam politik Malaysia.
Beliau berkata, BN turut bersetuju segala persiapan dan kesiapsiagaan perlu diperkemas dari sekarang bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PRN Johor serta Pilihan Raya Umum akan datang.
Dalam pada itu, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, permukiman itu juga melahirkan keprihatinan bersama terhadap keperluan memelihara keamanan dan kestabilan negara.
"BN berpendirian bahawa isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama hendaklah ditangani melalui pendekatan musyawarah, kesederhanaan dan kebijaksanaan politik yang merupakan tradisi yang telah sekian lama menjadi teras kekuatan gabungan itu,” katanya.
Pada masa sama, Zambry berkata, pimpinan BN dalam kerajaan akan terus menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab, memainkan peranan konstruktif dalam memperkukuh kestabilan dan keberkesanan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
"Dengan penuh tawaduk dan keinsafan, BN komited untuk terus memperbaiki kelemahan lampau, memperkukuh saf kepimpinan serta menggembleng seluruh anggota ke arah masa depan yang lebih tersusun dan meyakinkan,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Barisan Nasional (BN) berhasrat melakukan penjenamaan semula menjadi lebih progresif dan inklusif
- Permukiman kepimpinan BN diadakan untuk memperkukuh kesepaduan dan merangka strategi menghadapi politik semasa
- Penjenamaan semula dipacu oleh politik berimbang, moderat dan berasaskan musyawarah
- Kepimpinan BN komited memelihara perpaduan dan memastikan relevansi BN dalam politik Malaysia
- BN bersiap siaga menghadapi kemungkinan pilihan raya sambil memelihara keamanan dan kestabilan negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
