Rafizi jawab surat tunjuk sebab PKR, nafi isytihar keluar parti

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli sudah menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung kenyataannya sebelum ini.
Bekas Menteri Ekonomi itu menjelaskan, temu ramah dengan akhbar berbahasa Cina yang dirujuk dalam surat berkenaan mempunyai maksud seperti boleh difahami individu dengan penguasaan bahasa Melayu yang baik.
"Kenyataan dalam temu ramah berkenaan mempunyai maksud berikut: Saya akan kekal sebagai ahli PKR dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan hingga Parlimen dibubarkan bagi tujuan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
"Selain itu, saya berhak memiliki perancangan sendiri selepas Parlimen dibubarkan dan tidak lagi terikat dengan peruntukan bersabit pertukaran parti oleh Ahli Parlimen di tengah-tengah penggal.
"Jika kenyataan ini difahami mengikut pemahaman bahasa Melayu waras, ia tidak memerlukan tafsiran merumitkan seperti cuba diajukan di dalam surat tunjuk sebab berkenaan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini Rafizi diberi surat tunjuk sebab berikutan tindakan beliau seakan-akan sudah hilang kepercayaan terhadap PKR.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, ia juga susulan kenyataan Rafizi yang beliau tidak mahu keluar parti pada masa ini kerana ia akan mencetuskan Akta Lompat Parti.
Dalam pada itu Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR mendakwa, PKR cuba menafsirkan kenyataannya seolah-olah beliau berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Pandan dalam PRU16 tetapi bukan atas tiket PKR sebagai satu pengisytiharan keluar parti.
"(Kenyataan itu dianggap) menggugurkan kedudukan saya sebagai ahli Parlimen dan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan," katanya.
Ringkasan AI
- Rafizi sudah menjawab surat tunjuk sebab dari Setiausaha Agung PKR
- Rafizi menjelaskan kenyataan dalam temu ramah itu boleh difahami oleh individu yang mahir bahasa Melayu
- Beliau menyatakan akan kekal sebagai ahli PKR dan berkhidmat hingga Parlimen dibubarkan untuk PRU16
- Rafizi berhak memiliki perancangan sendiri selepas dibubaran Parlimen tanpa terikat dengan peraturan pertukaran parti
- Beliau dituduh telah hilang kepercayaan terhadap PKR dan cuba diinterpretasikan sebagai ingin keluar parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

