Pemandu lori mengaku seludup 50 ekor lembu guna treler

Manogaran (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Besut pada Khamis atas dakwaan menyeludup 50 ekor lembu menggunakan treler pada Ogos lalu.
Manogaran (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Besut pada Khamis atas dakwaan menyeludup 50 ekor lembu menggunakan treler pada Ogos lalu.
A
A
A

BESUT - Seorang pemandu lori didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret pada Khamis selepas mengaku salah menyeludup 50 ekor lembu menggunakan treler dalam kejadian pada Ogos lalu.

Tertuduh, N Manogaran, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuziana Shakila Raja Mamat.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan di Kampung Kuala Besut jam 12.20 tengah malam pada 6 Ogos lalu.

Tertuduh di dakwa memindahkan 50 ekor lembu menggunakan treler tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar yang diberi kuasa.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut perenggan i (b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut Dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu (Tr. P. U. 10) yang mana diwartakan di bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Subseksyen 36 (7) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000.

Raja Norshuziana Shakila kemudian menetapkan hukuman penjara enam bulan jika Manogaran gagal membayar denda itu manakala hasil jualan ternakan sebanyak RM 63,310 dilucutkan hak.

Sementara itu, di mahkamah sama seorang lelaki berusia 19 tahun di denda RM10,000 selepas mengaku salah memindahkan tiga ekor lembu menggunakan kenderaan pacuan empat roda pada Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Tuan Ahmad Azir (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Besut atas dakwaan menyeludup tiga ekor lembu dalam kejadian pada Ogos lalu.
Tuan Ahmad Azir (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Besut atas dakwaan menyeludup tiga ekor lembu dalam kejadian pada Ogos lalu.

Tertuduh, Tuan Ahmad Azir Tuan Hussain,19, didapati memindahkan tiga ekor lembu menggunakan kenderaan pacuan empat roda jam 10.50 malam di tepi jalan di Kampung Padang Landak, Jertih, di sini pada 15 Ogos lalu tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar yang diberi kuasa.

Dengan itu, dia telah melakukan kesalahan mengikut perenggan i (b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut Dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu (Tr. P. U. 10) lyang mana telah diwartakan di bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953 dan dibaca bersama Seksyen 73 akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan denda RM10,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda manakala hasil jualan ternakan sebanyak RM3,880 dilucutkan hak.

Difahamkan, kesalahan dilakukan tertuduh adalah kesalahan berulang buat kali kedua.

Kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.