PRU15: UPKO tuntut kerusi Parlimen Kota Marudu

Jamius Bisara
Jamius Bisara
A
A
A

KOTA MARUDU - Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Marudu menuntut supaya kerusi Parlimen Kota Marudu diberikan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tuntutan itu dibuat kepada jawatankuasa rundingan agihan kerusi Parlimen Pakatan Harapan (PH) dengan menggesa supaya keutamaan diberikan kepada kepada calon daripada UPKO.

Setiausaha Bahagian UPKO Kota Marudu, Jamius Bisara berkata, selaku parti tempatan, mereka lebih layak bertanding di kawasan berkenaan yang mana 85 peratus penduduknya dalam kalangan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).

Katanya, berdasarkan kekuatan dan sokongan kuat parti, mereka mampu menggalas tanggungjawab dalam PRU15.

Agihan kerusi ini harus berpaksikan kepada semangat kekeluargaan dengan agihan sekata antara komponen PH.

"Saya amat yakin, UPKO mempunyai sokongan padu terutama daripada pengundi muda. Oleh demikian, kami menuntut agar calon Parlimen pada PRU kali diberikan kepada UPKO,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jamius berkata, ketika ini, UPKO Kota Marudu mempunyai kira-kira 10,500 ahli membabitkan 168 cawangan di kawasan Parlimen berkenaan.

"Suara akar umbi di Parlimen ini turut mengharapkan UPKO dibenarkan bertanding. Strategi kempen akan pasti dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan selaras dengan sentimen parti tempatan

Artikel Berkaitan:

"Fakta bahawa ahli-ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) akan beralih sokongan kepada calon UPKO pula adalah disebabkan kegagalan serta isu yang terkait dengan presiden parti berkenaan.

"Beliau (Datuk Seri Dr Maximus Ongkili) sekali lagi mahu bertanding pada PRU kali ini walaupun amat jelas banyak kegagalan beliau sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Marudu,” katanya.

Jamius berkata, UPKO juga memainkan peranan besar dalam memastikan kemenangan calon PBS pada PRU14 lalu.

"UPKO lebih ditakuti oleh parti lawan dan peluang itu harus digunakan sebaiknya untuk merampas kerusi Parlimen Kota Marudu.

"Kita sudah bersedia untuk ‘berperang’ dalam PRU kali ini termasuk kemampuan dana diperlukan,” tegasnya.