PRN: Kerusi DUN Kota Kemuning kekal milik DAP

Amirudin ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Program Jualan Mega Ehsan Rahmah (JER)
Amirudin ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Program Jualan Mega Ehsan Rahmah (JER)
A
A
A

AMPANG - DAP akan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning walaupun penyandangnya, V Ganabatirau mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu selaras dengan persetujuan di antara PH dan Barisan Nasional (BN) bahawa semua kerusi penyandang kekal kepada parti menang.

"Setakat perjanjian, yang menang akan kekal kepada parti dan rakan kongsi, Ganabatirau DAP, jadi kita kekalkan kepada rakan kongsi kita iaitu DAP bertanding di (kerusi DUN) Kota Kemuning (pada PRN Selangor)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Program Jualan Mega Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya, AU2, Taman Keramat di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau dilaporkan tidak akan mempertahankan kerusinya kerana mahu menumpukan perhatian kepada kawasan Parlimen Klang yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Exco Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin Selangor itu berharap penggantinya akan meneruskan perkhidmatan terbaik dan jasa bakti kepada penduduk DUN Kota Kemuning.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga merupakan Menteri Besar Selangor berkata, pembahagian kerusi antara parti komponen PH Selangor bagi menghadapi PRN negeri itu juga hampir selesai dan akan diputuskan pada penghujung Jun.

Amirudin juga memberi bayangan bahawa calon yang bakal diketengahkan PH di Selangor akan menggabungkan muka lama dan baharu, namun keputusan muktamad akan hanya diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

"Kita akan gabung (calon muka) lama dan baharu dan juga sedang berbincang dengan rakan kongsi, perbincangan berlaku beberapa kali di peringkat Persekutuan dan Selangor kini telah mencapai (pada tahap) lebih 83 peratus selesai.

"Jadi saya percaya dalam masa terdekat dan (akan) diputuskan oleh majlis presiden masing-masing dan menjelang pembubaran kita sudah selesai pengagihan (kerusi) dan insya-ALLAH dalam bulan Jun ini," katanya.