Raih untung RM34,000 sebulan jual barang sukan tiruan

Pasukan Penguat Kuasa KPDNHEP Teluk Intan menyita pelbagai pakaian dan kelengkapan sukan seni bela diri disyaki tiruan dalam serbuan Op Jeriji 3.0 di Teluk Intan pada Selasa. Foto: Ihsan KPDNHEP Perak
Pasukan Penguat Kuasa KPDNHEP Teluk Intan menyita pelbagai pakaian dan kelengkapan sukan seni bela diri disyaki tiruan dalam serbuan Op Jeriji 3.0 di Teluk Intan pada Selasa. Foto: Ihsan KPDNHEP Perak
A
A
A

TELUK INTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas kelengkapan seni bela diri berjenama disyaki tiruan bernilai RM80,192 dalam serbuan Op Jeriji 3.0 di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Anson di sini pada Selasa.

Serbuan kira-kira jam 12.40 tengah hari itu dijalankan selepas dua minggu pasukan penguat kuasa KPDNHEP Teluk Intan menjalankan risikan.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, premis terbabit didapati menjual pakaian, peralatan dan kelengkapan sukan seni bela diri berjenama terkenal yang disyaki tiruan secara dalam talian.

"Tiga lelaki warga tempatan berusia 30-an disyaki pekerja dan pemilik premis perniagaan terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati syarikat tersebut telah beroperasi selama dua tahun dengan memperoleh barangan dari negara China," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, syarikat terbabit meraih keuntungan hampir RM34,000 sebulan hasil jualan barangan yang bermula dari RM7 hingga RM49.

"KPDNHEP Teluk Intan telah menyita kesemua barangan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan barang-barang yang cap dagangan dipakaikan dengan salah," katanya.

Artikel Berkaitan: