Haji: Tiada halangan jual barang kemas

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Islam tidak melarang jika ada umatnya yang menjual barang hak milik mereka untuk menunaikan haji di Makkah.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, syarat menunaikan haji ialah berkemampuan iaitu termasuk kewangan, kesihatan, keselamatan dan ada muhrim.

"Tiada masalah jika pasangan itu masih boleh berbelanja selepas kepulangan mereka menunaikan haji dan ada anak-anak membantu," katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditanya mengenai usaha seorang warga emas berusia 63 tahun menjual barang kemas bagi memenuhi impian menunaikan haji bersama suaminya tahun ini.

Sakinah Majid membuat keputusan menjual loket dan rantai tangan antik berusia 37 tahun pada harga RM160,000 supaya dapat menunaikan haji melalui pakej yang ditawarkan syarikat swasta bernilai RM50,000 setiap seorang.

Sakinah mendakwa sebelum ini sudah dua kali memohon rayuan menunaikan haji di Lembaga Tabung Haji namun gagal.

Mohamad Shukri memberitahu, warga emas itu bebas menguruskan harta dan menjual emas miliknya kerana dalam keadaan sihat dan berfikiran waras.

"Walaupun usianya sudah 63 tahun tetapi dia masih boleh berurusan dalam jual beli emas.

"Bagaimanapun, andai kata pihak Arab Saudi tidak membenarkan usia berkenaan menunaikan haji, itu kita panggil hilang syarat kemampuan," katanya.