Warga emas impi tunai haji, sedia jual barang kemas RM160,000

Seorang warga emas nekad menjual barang kemas miliknya bernilai RM160,000 kepada sesiapa yang berminat bagi melengkapkan impiannya untuk menunaikan haji pada tahun ini.
Seorang warga emas nekad menjual barang kemas miliknya bernilai RM160,000 kepada sesiapa yang berminat bagi melengkapkan impiannya untuk menunaikan haji pada tahun ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang warga emas nekad menjual barang kemas miliknya bernilai RM160,000 bagi melengkapkan impiannya untuk menunaikan haji tahun ini.

Sakinah Majid, 63, berkata, keputusan untuk menjual loket dan rantai tangan antik berusia 37 tahun itu dibuat selepas dua kali rayuan dia dan suami ditolak Lembaga Tabung Haji.

"Kami nekad untuk menunaikan haji tahun ini dengan menggunakan pakej swasta yang bernilai RM50,000 setiap seorang.

"Namun wang yang ada masih belum mencukupi, disebabkan itu kami berhasrat menjual barang kemas yang dibeli pada tahun 1986 ini walaupun terlalu menyayanginya kerana ia adalah koleksi terhad," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Menurut ibu kepada lima cahaya mata itu, sebelum ini dia pernah cuba menjual koleksi tersebut kepada kedai emas namun kecewa harga yang diberikan tidak menepati kualiti.

Disebabkan itu katanya, dia dan suami berharap ada pihak yang berminat membeli barang kemas itu, sekali gus membantu mereka mencapai impian menunaikan haji.

"Kami sudah berusia, namun masih lagi sihat tubuh badan dan disebabkan itu ingin merebut peluang menunaikan haji pada tahun ini," katanya.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi talian 017-9098088 untuk maklumat lanjut.