SC terima 1,800 aduan penipuan pelaburan

Kesemua penipuan itu dipromosikan dalam talian melalui saluran komunikasi serta platform media sosial. Foto hiasan (Gambar kecil: AWANG ADEK)
Kesemua penipuan itu dipromosikan dalam talian melalui saluran komunikasi serta platform media sosial. Foto hiasan (Gambar kecil: AWANG ADEK)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima 1,800 aduan berkaitan penipuan pelaburan dan aktiviti tidak berlesen dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, kesemua penipuan itu dipromosikan dalam talian melalui saluran komunikasi seperti Telegram dan WhatsApp serta platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

“Data terkini daripada SC menunjukkan bahawa penipu atau scammer masih berleluasa, terutamanya mereka yang menggunakan media sosial untuk menarik dan menipu pelabur dengan tawaran pakej pelaburan dan tuntutan jaminan pulangan tinggi yang tidak realistik dan tanpa risiko,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, hasil penemuan kaji selidik SC yang menunjukkan rakyat Malaysia masih mempunyai tahap kesedaran dan pengetahuan yang rendah tentang pelaburan dan produk pasaran modal.

“SC memantau Internet secara aktif untuk mengenalpasti aktiviti pasaran modal yang mencurigakan dan juga mengeluarkan amaran kepada pelabur melalui senarai makluman pelabur SC yang dikemas kini hampir setiap hari,” katanya

Tambahnya, ciri internet yang terbuka menyukarkan kita untuk melindungi pelabur.

“Tindakan terbaik yang boleh diambil oleh pelabur untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan dan aktiviti tidak berlesen adalah untuk melengkapkan diri dan meningkatkan pengetahuan kewangan mereka.

“Pelabur meletakkan diri mereka dalam risiko apabila berurusan dengan pihak tidak berlesen atau tidak berdaftar kerana capaian kawal selia SC ke atas entiti haram ini adalah terhad,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, di bawah undang-undang sekuriti Malaysia, mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan atau mempromosikan aktiviti pasaran modal, walaupun yang diluluskan dalam bidang kuasa lain mesti dilesenkan atau didaftarkan oleh SC.

“Dalam tinjauan yang dijalankan oleh SC, didapati pelabur Malaysia mempunyai jangkaan yang tidak realistik terhadap pulangan pelaburan kerana salah tanggapan tentang risiko dan pulangan.

“Celik kewangan yang rendah juga menjadikan pelabur terdedah kepada aktiviti tidak berlesen dan penipuan,” katanya.

Sementara itu Awang Adek berkata, orang ramai dijemput hadir pada Pameran pendidikan pelabur SC iaitu InvestSmart® Fest (ISF 2022) akan berlangsung pada 14-16 Oktober 2022 di Dewan Pameran 5 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“ISF 2022 akan menghimpunkan lebih 40 peserta pameran, terdiri daripada Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN), Bursa Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bank pelaburan dan penyedia produk dan perkhidmatan pasaran modal lain,” katanya.