Mavcom catat kutipan RSC RM112 juta dalam tempoh lima tahun

Anthony Loke - Foto Bernama
Anthony Loke - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mencatat kutipan caj perkhidmatan pengawalseliaan (RSC) berjumlah kira-kira RM112 juta dalam tempoh lima tahun sejak 2018.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, RSC sebanyak RM1 dikenakan ke atas setiap penumpang yang berlepas dengan pesawat udara dari mana-mana aerodrom di dalam Malaysia, seperti yang diwartakan dalam Peraturan-Peraturan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Caj Perkhidmatan Pengawalseliaan) 2018.

"Jumlah hasil kutipan itu adalah berdasarkan Penyata Kewangan 2018-2021 yang telah diaudit Jabatan Audit Negara dan bagi tahun 2022 yang belum diaudit.

"Jumlah kutipan tahunan, pada tahun 2018 sebanyak RM24.7 juta; 2019 (RM46.7 juta); 2020 (RM11.4 juta), 2021 (RM5.11 juta) dan sebanyak RM24.2 juta tahun lalu... Kutipan rendah 2020 dan 2021 adalah impak dari Perintah Kawalan Pergerakan dan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol yang meminta kementerian menyatakan jumlah hasil kutipan Mavcom bermula 2018 dan bagaimanakah hasil itu digunakan, dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara pada Isnin.

Anthony berkata, pengecualian kutipan RSC diberikan kepada penumpang dalam transit terus, kru pesawat, bayi di bawah umur dua tahun, penumpang perkhidmatan udara luar bandar serta ketua negara, menteri dan orang kenamaan yang melawat Malaysia dalam tugas rasmi mereka sebagai tetamu kerajaan.

Katanya, kutipan RSC membolehkan Mavcom menjana pendapatan sendiri untuk menampung perbelanjaan tahunan tanpa membebankan kewangan kerajaan, memandangkan ia tidak menerima dana, geran perbelanjaan atau peruntukan tahunan daripada kerajaan untuk membiayai kos operasi.

"Kutipan RSC ini digunakan antaranya untuk kempen kesedaran pengguna mengenai hak-hak perjalanan udara, pelaksanaan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan di lapangan terbang serta pembangunan rangka kerja jangka panjang bagi pengawalseliaan semua caj perkhidmatan penerbangan yang diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Caj Perkhidmatan Penerbangan) 2016 Mavcom.

"Juga digunakan untuk pembangunan sistem AeroFile, sebuah sistem pemfailan automatik bagi semua permohonan permit pendaratan untuk penerbangan komersial yang beroperasi ke atau dari Malaysia untuk memudah cara proses permohonan bagi syarikat penerbangan asing dan tempatan,” katanya.

Anthony menambah dana kutipan RSC turut digunakan bagi pelancaran sistem AeroLicence, platform e- pelesenan bagi mentransformasi dan mempercepatkan semua proses pelesenan secara berperingkat demi manfaat pemain industri. - Bernama