Pahang tamatkan kontrak pemaju PR1MA Cherating

Abd Rahim
Abd Rahim
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Pahang menamatkan kontrak pemaju yang mengendalikan Projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Cherating susulan kegagalan mereka menyiapkan 108 unit rumah seperti dijadualkan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, dengan penamatan perjanjian tersebut, kerajaan Pahang boleh melantik pemaju penyelamat bagi meneruskan baki projek yang terbengkalai.

Menurutnya, pembeli boleh meneruskan urusan jual beli rumah berkenaan dengan pihak pemaju baru.

"Dalam masa yang sama, pembeli berhak menuntut bayaran ganti rugi melalui Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR).

"Tuntutan yang boleh dibuat ialah deposit yang dibayar kepada pemaju, ganti rugi kelewatan penyerah milikan kosong dan lain-lain tuntutan yang berbangkit daripada perjanjian jual beli.

"Kerajaan Pahang tidak terikat untuk apa-apa pampasan kepada pembeli sebaliknya ia merupakan tanggungjawab pemaju. Kerajaan Pahang adalah pihak yang memiliki tanah tersebut sahaja," katanya dalam sesi penggulungan perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pernyataan Sim Chon Siang (PKR- Teruntum) yang ingin mengetahui status terkini PR1MA Cherating.

Abd Rahim menjelaskan, penetapan kriteria pemilihan pemaju bagi projek perumahan di bawah kerajaan Pahang sentiasa disemak dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebagai contoh, keupayaan kewangan syarikat, pengalaman sebagai pemaju, dan pendaftaran lesen dengan agensi-agensi yang berkaitan seperti Kementerian Kewangan Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

Dalam sesi pergulungan itu, Abd Rahim memaklumkan kerajaan Pahang kekal menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat di negeri ini meskipun berdepan cabaran peningkatan harga rumah yang melambung tinggi di seluruh negara susulan kenaikan mendadak harga bahan binaan.

Jelasnya, sehingga hari ini, kerajaan Pahang telah meluluskan 138 projek PR1MA Pahang dan masih aktif yang melibatkan 44,803 unit rumah.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 6,564 unit rumah telah siap dibina dan diserahkan kunci kepada pembeli. Jangkaan saya pada akhir tahun ini kita akan mencapai sasaran rumah siap sebanyak 7,000 unit.

"Bagi Rumah Makmur Pahang, sebanyak 25 projek telah diluluskan melibatkan 7,904 unit rumah.

"Justeru, kerajaan Pahang akan terus mengekalkan dasar pelaksanaan kedua-dua rumah mampu milik ini pada tahun akan datang kerana ia mendapat permintaan yang tinggi daripada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.

Pada 30 Mei lalu, Sinar Harian ada menyiarkan rungutan dan kekecewaan pembeli rumah PR1MA Cherating apabila rumah yang dijanjikan boleh didiami penghujung tahun lalu sehingga kini masih terbengkalai.

Mereka mendakwa projek perumahan itu dilanjutkan disebabkan pandemik Covid-19 dan dijadualkan siap pada Ogos depan, namun perkembangan pembinaannya sekadar siapkan lantai bagi empat unit rumah daripada 108 unit.