SPRM tahan wanita sogok pegawai PGA RM800

S Karunanithy
S Karunanithy
A
A
A
KOTA KINABALU - Tindakan seorang wanita yang cuba menyogok wang sebanyak RM800 kepada pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) supaya tidak diambil tindakan undang-undang membawa padah apabila dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.

Wanita tempatan berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 5.40 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah Cawangan Tawau.

Menurut sumber, suspek cuba mengelak daripada dikenakan tindakan kerana cuba membawa keluar barang kawalan ke Filipina.

Suspek dipercayai memberi wang rasuah berjumlah kira-kira RM800 kepada pegawai PGA yang sedang bertugas di Pulau Mataking, Semporna.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat mengikut seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

"Tiada permohonan reman dibuat dan suspek dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin pada hari yang sama.

"Hasil tangkapan ini adalah kerjasama antara PGA dan SPRM Sabah Cawangan Tawau dalam usaha membanteras rasuah di kawasan berkenaan," ujarnya.

Sehubungan itu, Karunanithy mengingatkan orang ramai supaya tidak menawarkan atau memberi sebarang bentuk sogokan kepada pejawat awam khususnya pegawai penguat kuasa kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

"Penjawat awam juga wajib membuat laporan kepada SPRM sekiranya timbul sebarang aktiviti sogokan kerana kegagalan untuk berbuat demikian juga akan dikenakan tindakan mengikut Akta SPRM 2009," katanya.
Artikel Berkaitan: