Akta Perolehan Kerajaan perlu digubal elak perbuatan rasuah

Badlishah
Badlishah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa agar menggubal Akta Perolehan Kerajaan bagi membendung gejala rasuah daripada berlaku di agensi-agensi kerajaan.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, Akta Perolehan Kerajaan yang terkandung dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 masih lagi belum digubal sehingga kini.

“Akta Perolehan Kerajaan akan meletakkan garis panduan, prosedur operasi standard (SOP) untuk perolehan kerajaan supaya apa sahaja tender seperti projek tebatan banjir mesti telus dan melalui jawatankuasa tertentu serta mempunyai mekanisme semak dan imbang.

“Ia (Akta Perolehan Kerajaan) akan mengelakkan gejala rasuah daripada berlaku,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor menahan empat individu susulan serbuan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), baru-baru ini dipercayai berkaitan siasatan kes projek tebatan banjir mega bernilai ratusan juta ringgit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, empat individu itu terdiri daripada seorang kontraktor dan tiga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Badlishah menambah, untuk memerangi rasuah di negara ini, ia haruslah dilakukan di semua peringkat.

“Bukan sahaja di peringkat kementerian atau agensi kerajaan, tetapi juga PBT kerana menjadi antara tempat di mana banyak tender (dikeluarkan) dan pengeluaran arahan kerja. Ia terbuka kepada gejala rasuah.

Artikel Berkaitan:

“Kita nak supaya PBT dibersihkan daripada gejala rasuah ini. Mana-mana pegawai yang didapati mengamalkan rasuah, memang perlu diambil tindakan,”" katanya.

Tegasnya, untuk memerangi rasuah, ia hendaklah dilakukan sehingga ke peringkat akar umbi dan apa sahaja tindakan perlu dilakukan.