Banjir Sabah: Jumlah mangsa di empat PPS kekal petang ini

Sebuah kenderaan meredah Jalan Ketiau Putatan yang ditenggelami banjir susulan hujan lebat berterusan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu petang kelmarin. Foto Bernama
Sebuah kenderaan meredah Jalan Ketiau Putatan yang ditenggelami banjir susulan hujan lebat berterusan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu petang kelmarin. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Jumlah mangsa banjir di Sabah yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan Penampang, Putatan, Papar dan Beaufort kekal seramai 142 orang daripada 36 keluarga petang ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Sabah dalam kenyataan memaklumkan, Dewan Kebudayaan di Penampang setakat ini masih menempatkan 20 mangsa daripada empat keluarga; manakala Dewan PPR Sri Keramat, Putatan (61 mangsa daripada 11 keluarga).

Dua lagi PPS iaitu Kompleks Latihan dan Pemulihan OKU di Papar juga masih menempatkan 10 mangsa daripada dua keluarga; manakala seramai 51 mangsa daripada 19 keluarga berada di Dewan DSP Mohd Dun Banir, Beaufort.

Kesemua PPS dibuka pada Ahad dan Isnin susulan hujan lebat berterusan sejak Sabtu lepas.

Sementara itu, Jabatan Keretapi Negeri Sabah menerusi kenyataan memaklumkan jabatan itu telah berjaya melaksanakan kerja-kerja menarik jentera Loko7001 yang tersekat di Terowong Dampai, Papar hari ini akibat tanah runtuh di kawasan itu lewat malam tadi.

Jabatan itu turut memaklumkan, kerja-kerja pembersihan landasan yang tertimbus tanah dan pokok juga sedang giat dijalankan ketika ini di bawah seliaan Pengarahnya Leonard Stephen Poyong.

Rentetan daripada itu, perkhidmatan keretapi bagi laluan Sembulan-Beaufort pada pukul 5 petang ini terpaksa dibatalkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan landasan dan penyeliaan keadaan tanah di kawasan tanah runtuh di Kilometer 33 Terowong Dambai, Papar.

Perkhidmatan keretapi turut dibatalkan esok bermula pukul 5 pagi bagi laluan Beaufort-Sembulan; diikuti Sembulan-Beaufort (7 pagi); dan Beaufort-Sembulan (11.01 pagi).

Artikel Berkaitan:

"Mohon maaf atas segala kesulitan dihadapi. Sebarang perkembangan terbaharu operasi laluan sektor Kota Kinabalu akan dikemas kini dari semasa ke semasa," menurut jabatan itu.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Sabah dalam kenyataan berasingan memberitahu, Jalan Langkawit TV Station di Kampung Langkawit, Papar tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan akibat cerun runtuh petang ini.

"Kejadian berlaku dipercayai akibat hujan berterusan dan pihak konsesi jalan sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan,” menurut kenyataan itu. - Bernama