Dakwaan hanya empat pensyarah dirujuk Majlis Raja-raja tak benar

Ahmad (dua dari kiri) bersama Annuar (tiga dari kiri) dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua dari kanan) pada program Ceramah Sepentas BN, malam tadi.
Ahmad (dua dari kiri) bersama Annuar (tiga dari kiri) dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua dari kanan) pada program Ceramah Sepentas BN, malam tadi.
A
A
A

SEREMBAN - Dakwaan hanya empat pensyarah dirujuk oleh Majlis Raja-raja untuk mendapatkan pandangan mengenai Statut Rom adalah tidak benar.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada Selasa minggu lalu itu turut mendapatkan pandangan beberapa individu lain.

Annuar mendakwa, beliau memperoleh sendiri maklumat itu daripada dua orang pensyarah terlibat dalam mesyuarat tersebut.

"Dalam soal ini, kita tahu bukan empat orang ahli akademik itu sahaja yang dirujuk. Raja-raja Melayu telah membuat konsultasi atas keinginan mereka sendiri tanpa melibatkan orang politik.

"Mereka bermesyuarat secara tertutup dan menjemput Peguam Negara Tommy Thomas, pakar akademik Prof Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan empat orang penyelidik yang tiga daripadanya membuat perbentangan.

"Mereka (empat pensyarah) tidak membuat keputusan bagi pihak raja-raja Melayu, saya yakin 101 peratus," katanya pada sidang media selepas program Ceramah Sepentas BN di Taman Kelab Tuanku di sini malam tadi.

Sebelum ini, sekumpulan aktivis pelajar mendedahkan rumusan eksekutif kertas kerja oleh empat pensyarah yang didakwa digunakan untuk meyakinkan Majlis Raja-raja agar menolak Statut Rom.

Rumusan itu dilakukan oleh Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad dan Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz, dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

Artikel Berkaitan:

Mereka turut mempersoalkan mengapa kajian itu dijalankan secara sulit tanpa diketahui oleh masyarakat dan mendakwa hujah-hujah rumusan itu bersifat berat sebelah.

Sehubungan itu, Annuar meminta kerajaan berterus terang dan memberikan gambaran penuh mengenai usaha dilakukan oleh Majlis Raja-raja tersebut.

"Ini kerana Majlis Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh bercakap secara politik dan tidak boleh membuat sidang media. Jadi tidak adil kepada raja-raja Melayu sedangkan apa yang mereka lakukan tidak serupa dengan apa yang kerajaan gambarkan. "Bukan raja-raja Melayu yang menghasut rakyat, tapi kerajaan PH yang cuba menghasut rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Annuar mencadangkan Saifuddin dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disiasat kerana menyatakan penarikan balik ratifikasi Statut Rom disebabkan bimbang berlaku rampasan kuasa.

"Menteri berkenaan mesti disiasat oleh polis sebab kita tidak mahu rampasan kuasa dalam negara kita. Jatuh bangun kerajaan semua lalui proses demokrasi, tidak pernah berlaku rampasan kuasa.

"Oleh kerana mereka menteri menyebut perkara sama, jadi kita pandang serius. Mereka mesti memberikan kenyataan dan bukti bahawa ada perancangan untuk melakukan rampasan kuasa," katanya.