PRU15: Abdullah Sani tidak pasti bertanding di Parlimen Kapar

Abdullah Sani
Abdullah Sani
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid tidak pasti sama ada beliau akan bertanding semula di kerusi disandangnya atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Namun sekiranya masih diberi kepercayaan untuk terus berkhidmat di sini tentunya apa yang telah dijalankan sebelum ini akan diteruskan," katanya di laman Facebooknya pada Isnin.

Malah Abdullah Sani berkata, ia akan ditambah baik lagi dalam merangka dasar dan menyantuni serta mengambil berat khususnya warga Parlimen Kapar dan golongan pekerja amnya.

"Sepenggal di (Parlimen) Kapar, saya telah membelanjakan sebanyak lebih RM4.5 juta untuk Projek Mesra Rakyat dalam memastikan kemudahan dan infra di bawah bidang kuasa saya terjamin dan selesa.

"Sebanyak lebih RM3.5 juta telah disalurkan sebagai sumbangan program kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang sangat memerlukan.

"Manakala hampir RM1 juta telah diagihkan sebagai bantuan bencana dan kecemasan kepada mereka ditimpa musibah," katanya.

Katanya lagi, Balai Polis Klang Utara ketika pertama kali beliau jejak pada tahun 2018 pula disifatkan sangat tidak sesuai untuk menjalankan operasi kerana berada di kawasan lot kedai.

"Saya kemudiannya memperjuangkan untuk diadakan sebuah Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara yang baharu dan selesa.

Artikel Berkaitan:

"Cadangan itu telah diangkat dan diluluskan di Dewan Rakyat pada tahun 2019 dan sebidang tanah di kawasan Meru telah pun dikenal pasti bagi tujuan ini," katanya.

Sewaktu berkempen PRU14, beliau turut melihat kepayahan warga Parlimen Kapar yang sukar untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan kerana klinik kesihatan yang ada sentiasa dilimpahi pelawat dan hospital pula jauh.

"Saya memikirkan supaya perlunya didirikan sebuah hospital baharu di sini maka cadangan saya telah diangkat dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada tahun 2019 dan tapak hospital ini telah dikenal pasti bersebelahan dengan tapak Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara," katanya.

Ketika mesyuarat pertama Parlimen ke-14, Abdullah Sani turut mengutarakan tentang keadaan fizikal jalan raya utama di Kapar yang terlalu daif dan berbahaya, akhirnya projek baik pulih jalan utama itu diluluskan dengan kos sebanyak lebih RM450 juta diluluskan di Dewan Rakyat.

"Melangkah ke Dewan Rakyat saya mengambil pendekatan untuk mengangkat isu pekerja selain dari isu di kawasan.

"Pelbagai pencapaian sepanjang perjuangan di Dewan Rakyat antaranya penambahan bilangan hari cuti bersalin, meringankan beban kerja pentadbiran di kalangan guru, gaji minima dan banyak lagi," katanya.

Beliau berkata, perkara besar yang tidak boleh dilupakan adalah cadangan beliau untuk menyediakan program alternatif sebagai inisiatif kepada golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan itu diterima oleh kerajaan.

"Tahun 2017, saya telah dipanggil Perdana Menteri ketika itu untuk membincangkan perkara ini secara khusus dan akhirnya Sistem Insurans Pekerja dibahaskan dan diluluskan di Dewan Rakyat," katanya.

Beliau menambah, pandemik Covid-19 telah membuktikan bahawa betapa pentingnya Sistem Insurans Pekerja ini dalam membantu golongan pekerja yang hilang mata pencarian.

"Sepenggal di Kapar memberikan saya erti persahabatan yang dahsyat. Warganya peramah, baik dan sentiasa mengamalkan silaturahim terutamanya ketika saya menghadiri ‘kondangan’ dan jemaah di masjid dan surau.

"Sepanjang saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kapar, tentunya lebih banyak kesilapan dari kebaikan yang telah saya lakukan.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon ribuan ampun dan maaf atas kekurangan saya, isteri dan seluruh pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kapar dalam memberi khidmat selama ini," katanya.