Fenomena air pasang besar diramal pada Selasa

Keadaan cuaca perlu dipantau sebelum pergerakan nelayan dan sebarang aktiviti di laut bagi memastikan keadaan selamat. - Gambar hiasan
Keadaan cuaca perlu dipantau sebelum pergerakan nelayan dan sebarang aktiviti di laut bagi memastikan keadaan selamat. - Gambar hiasan
A
A
A

SUNGAI PETANI - Fenomena air pasang besar yang dijangka melanda perairan Kuala Muda, Kedah diramal bermula pada jam kira-kira jam 1 pagi Selasa.

Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, ramalan air pasang besar di daerah ini dijangka berlaku pada 11 sehingga 12 Oktober 2022.

Menurutnya, setakat ini, amaran berhubung ramalan air pasang besar telah dikeluarkan, jangkaan air pasang meningkat sehingga 2.9 meter pada jam 1.25 pagi Selasa (11 Oktober).

"Jangkaan air pasang tersebut diramal berlarutan sehingga jam 1.52 pagi Rabu (12 Oktober)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Berikutan itu, kesemua penduduk di pesisiran pantai Kota Kuala Muda terutama di Kampung Kepala Jalan, Hujung Matang, Sungai Meriam dan Sungai Yu diminta berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Katanya, penduduk sekitar pantai Tanjung Dawai, Merbok termasuk yang berada di Kampung Nelayan, Bagan Asam, Huma dan Sungai Pial turut diminta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Jelasnya, walaupun situasi semasa masih terkawal, namun golongan nelayan dan individu yang ingin melakukan aktiviti di laut diminta memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan selamat sebelum meneruskan kegiatan harian mereka.

Sebelum ini, media melaporkan air pasang besar dijangka berlaku di beberapa kawasan hingga Khamis ini, berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Artikel Berkaitan:

Nadma menerusi perkongsian di laman Facebook memaklumkan, Pusat Hidrografi Nasional meramalkan kawasan terlibat adalah Kuala Muda, Kedah; Bagan Datuk, Perak; Pelabuhan Klang, Selangor serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

Menurut Nadma, fenomena itu berpunca daripada pengaruh daya tarikan graviti ketika kedudukan bulan dan matahari sejajar, seterusnya berkemungkinan menyebabkan limpahan air di daratan serta banjir di lokaliti kawasan rendah pesisir pantai.