My #QuranTime 2.0 bakal tampil pengisian lebih mendalam

Hussamuddin menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Sabtu. - FOTO ROSLI TALIB
Hussamuddin menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Sabtu. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Program My #QuranTime yang mencipta fenomena sejak lebih dua tahun lalu bakal diteruskan untuk edisi kedua hujung tahun ini dengan pengisian pengajaran yang lebih mendalam kepada penonton.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, My #QuranTime 2.0 dijangka bersiaran sebanyak 1,800 episod bermula pada 1 Disember depan.

Selain itu, pihak WUIF juga sedang mempersiapkan studio di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam untuk program edisi kedua itu.

“Program ini nanti akan membuka peluang kepada peserta untuk belajar secara langsung di lokasi penggambaran tersebut. Ini akan menjadikan program tersebut berinteraktif dalam sesi tadabbur dan belajar tajwid.

"My #QuranTime 2.0 juga menekankan kepada kefahaman dan elemen hafalan al-Quran supaya orang ramai dapat membaca dan menghafal surah dengan betul.

"Seterusnya mereka boleh mengamalkan bacaan tersebut dalam solat dengan lebih berkualiti,” katanya ketika ditemui sebaik selesai Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Sabtu.

Jelasnya, My #QuranTime 2.0 juga dijangka turut disiarkan secara langsung melalui TV Alhijrah.

Dalam pada itu, Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf turut menyatakan perhargaan kepada 15 juta pengikut My #QuranTime 1.0 yang menyumbang dalam agenda membentuk Keystone Habit ummah iaitu Quran, Solat dan Infak (QSI).

Agenda itu membawa misi Baca, Faham dan Amal, 1 jam berinteraksi dengan al-Quran setiap hari, 365 hari dari halaman 1 hingga 604.

Artikel Berkaitan:

Impak My #Quran Time yang menguar-uarkan Tabung Gerakan Al-Quran di TV Alhijrah telah mengumpulkan sebanyak RM6,820.362 (sehingga 7 Oktober 2022) hasil sumbangan orang ramai.

“Ia merupakan wakaf fasa empat yang diperkenalkan sejak 16 Oktober 2020,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 8,000 peserta diraikan dalam Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime yang julung kali diadakan itu.

Majlis penuh sejarah itu diketuai lima pentadabbur dan 16 qari.