Mujahid pertikai Malaysia berkecuali isu etnik Uighur

Mujahid
Mujahid
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mempertikaikan tindakan kerajaan yang berkecuali dalam isu pencabulan hak asasi etnik Uighur di China ketika laporan mengenainya diusul untuk dibahas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kenyataan tersebut dibuat menerusi ciapan di Twitternya pada Jumaat.

“Dulu mereka serang saya kerana ke Xinjiang dalam misi keamanan, kini ada peluang untuk bahas pun Malaysia berkecuali,” ujarnya.

Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) pada hari ini menolak usul bagi perbahasan tentang dakwaan mengenai pencabulan hak asasi manusia oleh China terhadap umat Islam Uighur di Xinjiang.

Pengundian yang melibatkan 47 negara anggota menyaksikan Malaysia bersama 11 negara lain mengambil pendirian berkecuali sementara 19 negara menolak serta 17 negara menyokong.

Sebelum ini, pada 2019, Mujahid yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri tampil memperjelas bahawa lawatan kerja ke China pada masa tersebut bukan semata-mata untuk melawat etnik Uighur, sebaliknya merentasi pelbagai aspek melibatkan isu keamanan, agama dan sosio ekonomi di samping berkongsi tentang model Malaysia berdasarkan gagasan Rahmatan Lil Alamin.

Ujarnya, dalam pertemuan berkenaan, beliau turut menegaskan tentang pendirian kebebasan beragama serta menghormati hak seseorang rakyat untuk beragama.

Artikel Berkaitan: