Bimbang pindaan RUU jadi beban kekal kepada komuniti p-hailing

Jose Rizal
Jose Rizal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan didakwa masih belum berjaya menyelesaikan beberapa isu dalam sektor perkhidmatan e-hailing namun diberi tanggungjawab lebih besar.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pekerja Industri e-Hailing Malaysia, Jose Rizal berkata, kementerian itu kini diberi kuasa mengawal selia komuniti p-hailing selepas tiga rang undang-undang (RUU) diluluskan di Dewan Rakyat.

Beliau bagaimanapun bimbang pindaan RUU terhadap perkhidmatan p-hailing yang diluluskan pada Khamis itu bakal menjadi beban kekal kepada penggiat industri berkenaan.

"Kami berpandangan bahawa tindakan ini dilihat sebagai 'copy paste' akta e-hailing kepada p-hailing dan meratifikasikan beberapa perkara yang akan menjadi bebanan kekal kepada penggiat industri.

"Sebagai contoh, permasalahan pemandu e-hailing yang masih tidak selesai sehingga hari ini iaitu dari segi kadar lantai upah, aplikasi tidak berlesen, proses pelesenan dan permit, pertindihan insurans adalah satu bukti kukuh supaya golongan penghantar barangan tidak dijebakkan ke dalam permasalahan sama jika ia dilaksanakan sekarang," katanya.

Pada Khamis, tiga RUU termasuk RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022 dan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022 diluluskan Dewan Rakyat.

Tiga rang undang-undang yang diluluskan itu bertujuan memberi punca kuasa kepada Kementerian Pengangkutan mengawal selia komuniti p-hailing.

Dalam pada itu, Jose berpandangan, keperluan mendesak ketika ini adalah mutu dan tahap perkhidmatan di setiap agensi berkait Kementerian Pengangkutan seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang harus di bersiap siaga dan diperkemas dengan arus kemodenan sebelum ingin melaksanakan sesuatu tanggungjawab baharu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya menyambut baik pindaan untuk mewajibkan penunggang p-hailing mencarum dengan program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).