Sekolah jadi PPS dijangka bertambah di Perak

Ahmad Saidi (kiri) meletakkan batu bata terakhir sebagai gimik Perasmian Penciptaan Rekod Malaysia Untuk Mural Atas Bata Tersusun Terbesar di SMK Methodist (ACS) Ipoh pada Jumaat.
Ahmad Saidi (kiri) meletakkan batu bata terakhir sebagai gimik Perasmian Penciptaan Rekod Malaysia Untuk Mural Atas Bata Tersusun Terbesar di SMK Methodist (ACS) Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Jumlah sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dijangka bertambah di Perak berdasarkan lokasi titik panas kawasan banjir dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah mengenal pasti sekolah-sekolah yang terlibat.

Menurutnya, bagaimanapun jumlah sebenar sekolah yang dijadikan PPS akan dimuktamadkan selepas laporan lengkap mengenai lokasi titik panas kawasan banjir diperoleh.

"Kita telah mengadakan mesyuarat di peringkat awal dua minggu lalu bersama JPN dan PPD mengenai perkara ini bagi kita mengenal pasti sekolah-sekolah yang akan kita gunakan sebagai PPS bagi mangsa banjir.

"Persiapan rapi juga telah dibuat bagi memastikan sekolah-sekolah ini lengkap dengan segala bentuk keperluan untuk digunakan oleh mangsa banjir yang akan dipindahkan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Penciptaan Rekod Malaysia Untuk Mural Atas Bata Tersusun Terbesar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist (ACS) Ipoh di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ahmad Saidi berkata, pihak PPD dan sekolah yang akan terlibat sebagai PPS ini telah menyatakan komitmen mereka untuk membantu menyediakan fasiliti bagi mangsa banjir berkenaan.

Difahamkan di daerah Kinta sahaja sebanyak 24 sekolah akan dijadikan PPS jika berlaku banjir.

Sinar Harian pada 26 September lalu melaporkan terdapat sebanyak 76 lokasi panas kawasan banjir di seluruh Perak yang dikenal pasti sebagai persediaan kerajaan negeri menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).

Artikel Berkaitan:

Semua lokasi berkenaan merupakan kawasan yang terjejas teruk ketika banjir besar berlaku pada 2014 lalu serta kawasan kerap banjir kilat.

Untuk rekod, Perak mempunyai 55 buah stesen hujan telemetri, 27 stesen aras air telemetri serta 43 lokasi rumah pam banjir yang berada di bawah seliaan JPS bagi mengurangkan risiko banjir.