'Non-halal-lift' tiada dalam klausa prosedur pensijilan halal

Tanda 'non-halal lift' pada salah satu lif penerimaan bahan mentah di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Tanda 'non-halal lift' pada salah satu lif penerimaan bahan mentah di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
A
A
A
SHAH ALAM - Tiada sebarang klausa yang ditetapkan di bawah Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 serta Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 bahawa pihak hotel atau premis perlu meletakkan penandaan 'non-halal-lift'.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pihak premis boleh menetapkan sebarang mekanisme kawalan halal yang bersesuaian dengan fasiliti mereka.

"Jakim ingin merujuk laporan media berhubung sebuah hotel di Kuala Lumpur yang meletakkan tanda 'non-halal lift' pada salah satu lif penerimaan bahan mentah hotel berkenaan.

"Dalam laporan berkenaan turut menyatakan arahan berhubung penandaan 'non-halal lift' merupakan peraturan yang ditetapkan oleh Jakim.

"Dimaklumkan, bahawa berpandukan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 serta Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020, tiada sebarang klausa yang menetapkan bahawa pihak hotel atau premis perlu meletakkan penandaan 'NON-HALAL-LIFT'.

"Namun begitu, pihak hotel atau premis boleh menetapkan sebarang mekanisme kawalan halal yang bersesuaian dengan fasiliti hotel selaras dengan prosedur yang telah ditetapkan bagi menjaga integriti Pensijilan Halal Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, peguam kontroversi, Siti Kasim, membuat satu hantaran di laman Facebook berkaitan perkara tersebut.

Siti memuat naik gambar 'non halal lift' selain meminta penjelasan daripada sebuah hotel terkemuka berhubung kewajaran berbuat demikian.

Pihak hotel tersebut kemudiannya tampil memberi penjelasan menyatakan bahawa pelekat itu ditampal kerana lif berkenaan digunakan untuk membawa barangan tidak halal dan barang mudah rosak.
Artikel Berkaitan:


Ia juga dikatakan merupakan sebahagian daripada keperluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk memastikan mereka menerima pensijilan halal untuk operasi di belakang tabir hotel, seperti lif perkhidmatan.

Bagaimanapun pihak hotel itu telah membuat perubahan pada pelekat tersebut untuk pemahaman yang lebih baik oleh pelanggan dan tetamunya.