Pernas terima sijil Sistem Pengurusan Antirasuah

Lembaga Pengarah Pernas bersama-sama sijil ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS).
Dari kiri: Datuk Abu Bakar As-Sidek Datuk Mohd Sidek, Afidah Azwa Abdul Aziz, Hazimah, Datuk Sri Suriani Datuk Ahmad dan Datuk Rodziah Abudin.
Lembaga Pengarah Pernas bersama-sama sijil ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS). Dari kiri: Datuk Abu Bakar As-Sidek Datuk Mohd Sidek, Afidah Azwa Abdul Aziz, Hazimah, Datuk Sri Suriani Datuk Ahmad dan Datuk Rodziah Abudin.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) memperoleh pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) berkuatkuasa 27 Januari lepas.

Pernas dalam satu kenyataan berkata, pensijilan yang telah dianugerahkan oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd dan The International Certification Network, IQNet menjadi bukti pengamalan kepada piawaian tadbir urus yang baik dan teguh terhadap agensi berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, sijil berkenaan mematuhi prinsip liabiliti korporat seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Pindaan 2018), sekali gus membuktikan komitmen Pernas terhadap perkhidmatan berintegriti demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

"Pensijilan ini menunjukkan komitmen berterusan Pernas dalam mewujudkan persekitaran yang adil, bersih dan bebas rasuah serta memberikan perkhidmatan berkualiti dan profesional dalam aktiviti perniagaan harian kami.

"Malah, pengiktirafan ini mengukuhkan lagi tahap kedudukan sikap sifar toleransi Pernas terhadap semua bentuk rasuah dan korupsi," katanya.

Dalam pada itu, Hazimah berkata, sebelum menerima pengiktirafan tersebut, Pernas sudah melaksanakan beberapa inisiatif bagi membasmi dan memberi kesedaran kepada warga kerja mengenai kepentingan menjauhi selain mengelakkan elemen-elemen rasuah atau korupsi dalam melaksanakan tugasan harian.

Ujarnya, ini termasuk mengemas kini Polisi Anti-Rasuah dan Korupsi, Polisi Tiada Pemberian Hadiah (No Gift Policy), Ikrar Bebas Rasuah dan Integriti Korporat serta mewujudkan saluran pemberian maklumat kepada warga kerja untuk melaporkan kes yang disyaki berkenaan dengan perlakuan tidak wajar (whistleblowing).

"Selain itu, Pernas turut membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (Pernas OACP) berdasarkan inisiatif mandatori di bawah Strategi 2, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) iaitu memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dalam sektor awam," jelasnya.