Tiada lagi ‘pasukan kedua’ dalam saingan Piala Malaysia

Piala Malaysia
Piala Malaysia
A
A
A

SEBELUM ini Piala Malaysia, kejohanan paling tertua di Asia dimulakan dengan peringkat kumpulan yang menyaksikan empat pasukan bersaing untuk mendapatkan dua slot ke peringkat seterusnya.

Itu adalah tradisi saingan Piala Malaysia, dengan setiap pasukan perlu berdepan enam perlawanan di peringkat kumpulan.

Namun, dalam saingan edisi 2022, perubahan format Piala Malaysia bagi musim ini menyaksikan tiada lagi aksi peringkat kumpulan. Semua pasukan akan diundi untuk memulakan cabaran di pusingan 16 pasukan.

Musim ini saingan Piala Malaysia menampilkan perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik diadakan secara timbal balik, disusuli aksi suku akhir (timbal balik) dan perlawanan separuh akhir (timbal balik), dengan aksi final Piala Malaysia bakal berlangsung di venue neutral pada 26 November.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjelaskan keputusan tersebut dibuat mengambil kira beberapa faktor, khususnya kepadatan kalendar semasa dan impak ramalan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Di sisi lain, setiap pasukan sudah pastinya perlu bertungkus-lumus untuk memastikan perlawanan dimainkan secara all out dan pasukan bertanding tidak boleh melakukan sebarang kesilapan yang ‘memakan’ diri sendiri.

Sudah tentu setiap pasukan akan berkira-kira untuk tidak menampilkan ‘pasukan kedua’ kerana dalam aksi timbal balik 16 pasukan itu, mereka pasti mahukan kemenangan mutlak bagi melayakkan pasukan ke peringkat seterusnya.

Paling tidak pun, pertukaran seorang dua pemain boleh dipertimbangkan dan bukannya melibatkan pemain-pemain utama.

Artikel Berkaitan:

Ini diakui oleh MFL – ketiadaan perlawanan di peringkat kumpulan dapat memberikan ruang dan masa kepada pasukan, sekali gus mengimbangi kualiti Piala Malaysia serta memastikan pencegahan kecederaan pemain.

Cuma, apa yang dapat dilihat melalui penukaran format itu adalah kurangnya siri kejohanan paling tertua di Asia terutama melibatkan semangat kehadiran penyokong di stadium.

Yang penting, MFL perlu menguar-uarkan penukaran format itu secara berterusan supaya penyokong sedar mereka tidak boleh menunggu saat akhir untuk menaikkan semangat pasukan.

Ini kerana saingan musim ini berubah sama sekali, hanya dua perlawanan menentukan nasib sesebuah pasukan bertanding.