Tiada lagi ribut politik, isu '30 Bahagian UMNO' di Perlis

Datuk Rozabil Abd Rahman.
Datuk Rozabil Abd Rahman.
A
A
A

ARAU - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman menzahirkan komitmen bahawa kerjasama yang lebih erat akan dibentuk kepimpinan baharu di negeri itu meskipun ketiga-tiga Ketua Bahagian yang dilantik bagi penggal 2023-2026 merupakan 'orang baharu'.

Menurutnya, isu dalaman yang serius sehingga membawa perpecahan besar di peringkat bahagian juga diyakini tidak akan berlaku dalam penggal ini.

Ia selepas ketiga-tiga bahagian bersetuju untuk tidak mewujudkan persaingan sesama sendiri seperti yang berlaku di dalam kepimpinan UMNO bagi penggal-penggal sebelum ini.

Tambahnya, usaha berkenaan adalah sebagai medium untuk meraih semula sokongan rakyat selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perlis tumpas di semua tiga kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

"Saya (sudah) beri komitmen kepada Presiden parti (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang mana, Perlis tidak akan jadi 30 bahagian (lagi seperti sebelum ini), kita nak balik (penyatuan yang melibatkan) tiga bahagian (ini).

"Ini kerana dulu, orang (ramai) perli (UMNO) Perlis, (ada) tiga bahagian (sahaja), tetapi (isunya) macam 30 (bahagian) kerana selalu bergaduh. Kali ini kita nak balik, (ketiga-tiga itu) kekal sebagai tiga bahagian.

"Ketiga-tiga Ketua UMNO Bahagian yang baharu ini, tidak dilahirkan dari keluarga taufan, jadi insyaallah tidak ada ribut kerana kita telah bekerjasama," katanya.

Rozabil berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Moreh Bersama Media di Batas Liku, Arau, malam Sabtu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, program dan acara berbentuk kebajikan akan menjadi keutamaan UMNO negeri itu dalam memberikan khidmat sebaik mungkin kepada keseluruhan rakyat di Perlis tanpa mengira latar belakang politik, agama dan kaum.

Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Ketua UMNO Bahagian Arau itu menyatakan telah menerima arahan bagi membantu negeri-negeri terlibat, khususnya, kemungkinan besar, Kedah.

Pemilihan UMNO Perlis bagi penggal 2023 hingga 2026 menyaksikan kesemua tiga bahagian UMNO di negeri ini diketuai oleh muka-muka baharu.

Di Arau, Rozabil berjaya mengetuai UMNO Bahagian itu selepas menang tanpa bertanding, sekali gus menamatkan dominasi hampir 30 tahun Datuk Seri Shahidan Kassim di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya mengetuai UMNO Bahagian Kangar selepas menewaskan penyandang, yang juga bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Ruzaini Rais mengepalai Bahagian Padang Besar. - Awani