Seludup dadah, 9 PATI Thailand ditahan di Korea Selatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

YESAN - Polis Korea Selatan menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) Thailand kerana menyeludup 10 bilion won (AS$7.05 juta) nilai dadah haram ke Korea Selatan dan menjualnya kepada komuniti Thailand di sini, kata pegawai pada Rabu.

Menurut Agensi Polis Wilayah Chungnam, polis menahan seorang warga Thailand berusia 33 tahun yang mengendalikan kumpulan dadah yang berpusat di Wilayah Chungcheong Selatan, manakala lapan lagi anggota kumpulan itu didakwa di bawah akta pengurusan dadah, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kesemua pendatang tanpa izin dari Thailand itu didakwa menyeludup pelbagai jenis dadah haram seperti methamphetamine ke Korea Selatan dari Laos antara Oktober 2021 dan September 2022 dan menjualnya kepada pendatang tanpa izin Thailand lain di Korea Selatan atau menggunakannya sendiri.

Polis berkata, mereka membawa masuk dadah itu yang dibungkus sebagai suplemen kolagen melalui perkhidmatan pos antarabangsa.

Berpusat di kawasan Nonsan dan Cheongyang di Wilayah Chungcheong Selatan, kumpulan dadah itu berhubung dengan masyarakat Thailand di wilayah itu serta mereka di wilayah Jeolla Utara dan Gyeongsang Utara yang berdekatan, melalui media sosial dan menjual dadah itu sendiri secara tunai.

Daripada tiga kilogram methamphetamine yang diseludup masuk ke negara ini, polis merampas baki 1.3 kg yang tidak terjual cukup untuk 43,000 dos, bernilai 5 bilion won, menurut polis.

Sebanyak 192 pil yaba, gabungan methamphetamine dan kafein; 21 gram ganja; dan dua gram ekstasi turut dirampas.

Anggota kumpulan itu memberitahu polis, mereka mula menggunakan dadah untuk menghilangkan keletihan akibat kerja keras dan membelanjakan keuntungan jualan bagi menyara hidup selain untuk membeli lebih banyak dadah.

Artikel Berkaitan:

Pada Jun, ketua kumpulan dadah itu menerima hukuman penjara tujuh setengah tahun manakala lapan yang lain masih dibicarakan, menurut Agensi Polis Wilayah Chungnam.

Seramai 31 lagi warga Thailand turut ditahan atas tuduhan menggunakan dadah dan mengedar dadah daripada kumpulan dadah itu, namun kesemua mereka dihantar pulang ke negara asal. - Bernama