Polis Pahang lupus dadah, ketum bernilai lebih RM420,000

Ramli (kiri) bersama Ketua JSJN Pahang, Superintendan Azmi Awang Lah menunjukkan sebahagian dadah yang akan dilupuskan pada sidang akhbar di Kuantan pada Selasa.
Ramli (kiri) bersama Ketua JSJN Pahang, Superintendan Azmi Awang Lah menunjukkan sebahagian dadah yang akan dilupuskan pada sidang akhbar di Kuantan pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang melupuskan pelbagai jenis dadah termasuk air dan daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM420,000 yang dirampas dalam tempoh 2016 hingga 2021.

Semua dadah yang dilupuskan itu merupakan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang telah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman dikenakan kepada pesalah kes terbabit telah tamat.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 14 jenis dadah yang dilupuskan termasuk 5,556.21 gram (g) heroin, methamphetamine (1,620.21g), kanabis (1,132.20g), ketamin (18.92g),nimetazepam (43.62g), yaba (105.48g) dan ekstasi (10.08g).

Menurutnya, turut dilupuskan 2, 717.23 liter air ketum, daun ketum (915,421g), kodein (439.20 liter), serbuk kodein (340g), pil psikotropik (541.84g) dan jenis dadah dalam kategori lain-lain.

"Proses pelupusan dijadual dilaksanakan pada Rabu oleh kontraktor bertauliah di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan," katanya pada sidang akhbar berhubung pelupusan barang kes JSJN Kontinjen Pahang itu di sini pada Selasa.

Ramli berkata, nilai rampasan semasa dadah bagi kontinjen Pahang dalam tempoh Januari sehingga 30 September tahun meningkat kepada lebih RM 31.3 juta.

Dalam sidang akhbar sama, Ramli berkata, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang turut melupuskan lebih 4.4 juta batang rokok (22,106 karton) tidak bercukai pelbagai jenama yang dirampas dalam tempoh 2015 hingga tahun ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rokok yang dilupuskan itu dianggarkan mencecah lebih RM 2.8 juta termasuk cukai.

Artikel Berkaitan:

"Rokok yang dilupuskan ini merupakan barang kes yang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang telah selesai dan pihak terlibat telah di dakwa di mahkamah.

"Rokok tidak bercukai yang akan dimusnahkan ini merupakan hasil kejayaan operasi dijalankan melibatkan kolaborasi JSJ Pahang bersama beberapa jabatan lain.

"Pelupusan barang kes ini juga dibuat selepas mendapat perintah mahkamah dan kelulusan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya.

Sementara itu Ramli berkata, sebanyak 25 kes rokok seludup telah dibuka di negeri ini di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dalam tempoh Januari hingga September tahun ini dengan 36 tangkapan.

"Daripada jumlah itu, 22 kes telah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman," ujarnya.

Beliau berkata, hasil tindakan proaktif yang dijalankan, nilai kerugian cukai negara yang berjaya diselamatkan mencecah lebih RM292,000.