Polis cekup suspek dadah dikehendaki sejak 2017

Suspek lelaki yang dikehendaki polis sejak 2017 lalu. - Foto IPD Iskandar Puteri
Suspek lelaki yang dikehendaki polis sejak 2017 lalu. - Foto IPD Iskandar Puteri
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis mengesahkan lelaki yang ditahan Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Iskandar Puteri, pada Sabtu merupakan suspek yang dikehendaki polis (wanted) sejak 2017.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan di Jalan Persiaran Perdana, Taman Tan Sri Yaakob dekat sini.

"Kita telah berjaya menahan suspek yang masih dikehendaki polis (wanted) sejak enam tahun lalu (2017) atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Suspek kini ditahan di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah), Iskandar Puteri untuk siasatan lanjut," katanya pada Ahad.

Sementara itu, Rahmat berkata, pihak URB juga telah berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki positif dadah jenis methamphetamine di lokasi sama pada Sabtu.

Beliau berkata, lelaki berkenaan turut ditahan di IPD Iskandar Puteri untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.