Dua-duanya suka, UMNO atau Bersatu pilihan Pas?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

APAKAH nasib hubungan Pas bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) yang selama ini dicanang demi menjaga kepentingan ummah.

Pas pada masa sama, turut menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan Persekutuan bersama BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun, tindakan Pas memilih untuk bersama PN dalam dua siri Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini untuk berlawan dengan BN telah menimbulkan tanda tanya sama ada Pas masih ingin bersama dengan UMNO atau memilih Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini menambahkan lagi dilema Pas apabila kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengisytiharkan BN sebagai musuh gabungan itu.

Sementara itu, laporan media tempatan menyatakan UMNO menetapkan tiga syarat utama yang mesti dipenuhi Pas sebelum sebarang perundingan baharu untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu menjelang PRU15.

Tiga syarat utama ditetapkan kepada Pas adalah keluar daripada gabungan PN serta memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.

Pas juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan Pas akan buat keputusan muktamad berhubung keterbukaan UMNO untuk memulihkan MN sebelum hujung minggu ini.

Artikel Berkaitan:

Takiyuddin berkata, parti itu mengambil sikap mengkaji secara mendalam kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara tersebut.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengingatkan UMNO agar tidak meletakkan syarat seperti 'Puteri Gunung Ledang' sekiranya ingin bekerjasama dengan Pas pada PRU15.

Tuan Ibrahim berkata, syarat diletakkan UMNO tidak memenuhi hasrat parti itu yang ingin bekerjasama bukan sahaja dengan UMNO tetapi Bersatu.

Selain itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin memaklumkan Pas tidak akan berhenti berusaha untuk menyatukan ummah di negara ini meskipun ia tidak dapat direalisasikan pada PRU15.

Menurutnya, pintu ke arah penyatuan itu akan terus dibuka bukan sahaja kepada parti Melayu tetapi parti bukan Melayu yang tidak ekstrem.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar pula berpandangan UMNO dan Pas perlu terus berunding dan mengadakan perbincangan, sekali gus membuat ketetapan terbaik mengenai masa depan MN.

Noh berkata, empat pimpinan tertinggi masing-masing mewakili UMNO dan Pas diharap dapat mencari jalan penyelesaian dan terus mengadakan rundingan untuk kebaikan kedua-dua parti.

Segala kemelut ini menunjukkan Pas perlu membuat pilihan sama ada kembali bekerjasama dengan UMNO dalam MN atau kekal dengan PN.

Pilihan Pas untuk memilih rakan bersama dalam menghadapi PRU15 adalah penting.

Ini kerana terdapat 27 kerusi di Parlimen memerlukan perbincangan antara Pas dan BN bagi memastikan kemenangan di kerusi terbabit.