Lindungi privasi anak, elak jadi mangsa culik

Pemesatan dunia digital masa sangat memudahkan kes-kes jenayah seperti penculikan berleluasa. - Gambar hiasan
Pemesatan dunia digital masa sangat memudahkan kes-kes jenayah seperti penculikan berleluasa. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa diingatkan agar menjaga maklumat dan privasi anak-anak agar tidak terdedah kepada penculikan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pemesatan dunia digital masa sangat memudahkan kes-kes jenayah seperti penculikan berleluasa.

Justeru menurutnya, ibu bapa perlu sedar bahawa tidak semua perkara boleh dikongsi dengan dunia kerana anak-anak mungkin akan terdedah dengan kes-kes yang tidak diingini.

"Kanak-kanak sangat terdedah kepada bahaya apabila tiada bersama ibu bapa seperti waktu pulang dari sekolah, sewaktu anak-anak bermain di waktu petang dan sebagainya.

"Mungkin dalam neraca peribadi kita, ia sekadar sekeping gambar anak sedang tersenyum memandang kamera telefon di pekarangan sekolah, tetapi maklumat sebegini boleh membuka ruang dan peluang kepada penculik untuk mengetahui lokasi sekolah anak, waktu tamat sesi sekolah dan bagaimanakah mereka pulang ke rumah," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau berkata, adalah sangat menyedihkan dengan lambakan kes penculikan terhadap wanita dan kanak-kanak yang berlaku kini dan ia sepatutnya membuat masyarakat lebih berwaspada terhadap persekitaran sekeliling.

"Konsep pemeliharaan terhadap nyawa (hifz al-nafs) merupakan prinsip yang kedua terpenting dalam maqasid syariah.

"Marilah kita rakyat Malaysia menjadi masyarakat yang bertanggungjawab memerhatikan keselamatan kanak-kanak di sekeliling dan menjadi ibu bapa yang menjaga maklumat dan privasi anak daripada terdedah kepada penculikan," katanya.

Artikel Berkaitan: