Pantau anak-anak, elak tambah kes kematian strok haba - Ahmad

Ahmad (kanan) mengambil gulai daging kawah yang disediakan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan.
Ahmad (kanan) mengambil gulai daging kawah yang disediakan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seluruh rakyat khususnya ibu bapa diminta berwaspada dan memantau aktiviti anak-anak pada musim panas melampau bagi mengelak pertambahan kes dan kematian akibat strok haba di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, langkah berjaga-jaga amat penting kerana tidak pernah mengalami perubahan cuaca seumpama ini.

“Perubahan cuaca berlaku bukan sahaja di Kelantan. Oleh itu, mesti berhati-hati berada dalam keadaan dan waktu cuaca tinggi.

“Perubahan cuaca ini boleh menyebabkan berlaku strok haba dan kami minta rakyat sentiasa berjaga-jaga serta jangan terdedah kepada kepanasan luar biasa sekarang,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, kesedaran tentang bahaya strok haba sangat penting dan semua pihak diminta bekerjasama menjaga kesihatan diri masing-masing.

Ketika ditanya berhubung cadangan melanjutkan tempoh cuti persekolahan, Ahmad berkata, langkah itu mungkin akan mengganggu perjalanan proses pembelajaran anak-anak.

Orang ramai yang hadir menjamu selera di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan.
Orang ramai yang hadir menjamu selera di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan.

“Cuaca panas melampau dijangka berlaku sehingga Ogos dan kalau cuti sekolah mungkin akan menjejaskan pembelajaran mereka.

“Kita perlu ambil kira kepentingan ilmu, pelajaran dan kesihatan namun terpulanglah kepada kerajaan pusat jika berkeperluan untuk berbuat demikian,” katanya.

Setakat Sabtu, lima kes gangguan kesihatan akibat cuaca panas direkodkan di seluruh negara.

Angka itu melibatkan satu kematian kanak-kanak 11 tahun akibat strok haba dan satu kematian bayi berusia 19 bulan kerana kelesuan haba, kedua-dua berlaku di Kelantan.

Tiga lagi kes dilaporkan di Sarawak membabitkan dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/status-cuacapanas/).

Sementara itu, maklumat dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM (http://www.myhealth.gov.my/cuaca-panas-a-kesihatan)