Kuasa besar perlu pertimbang impak kepada negara membangun

Negara kuasa besar perlu bertanggungjawab dengan keputusan dasar yang memberi impak terutama kepada sektor ekonomi seluruh dunia.
Negara kuasa besar perlu bertanggungjawab dengan keputusan dasar yang memberi impak terutama kepada sektor ekonomi seluruh dunia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Negara kuasa besar perlu bertanggungjawab dengan keputusan dasar yang memberi impak terutama kepada sektor ekonomi seluruh dunia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, walaupun dunia semakin pulih daripada kesan pandemik Covid-19, timbulnya pelbagai cabaran baharu yang telah mengakibatkan prospek ekonomi global yang bakal mengalami kemelesetan.

Beliau berkata, isu seperti ketegangan geopolitik di antara Amerika Syarikat (AS) dengan China yang berterusan, peperangan di Ukraine yang masih tiada kesudahan, ancaman perubahan iklim seperti banjir dan kemarau di beberapa negara yang telah menjejaskan bekalan makanan, serta dasar sifar Covid-19 di China terus mengganggu bekalan rantaian dunia.

"Faktor-faktor ini jelas sekali berada di luar kawalan kita. Kesemua faktor-faktor ini telah menyebabkan harga pelbagai jenis komoditi dan barangan asas melonjak, lantas meningkatkan kadar inflasi ke tahap yang tidak pernah dialami oleh kebanyakan negara dalam masa beberapa dekad,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan itu bagi mengulas mengenai pelbagai laporan, kebimbangan dan pertanyaan yang diajukan kepada Kementerian Kewangan, terutamanya berkait dengan kedudukan nilai mata wang ringgit dan perkembangan semasa ekonomi negara.

Beliau berkata, kadar faedah terkini AS yang meningkat sehingga 3.25 peratus untuk mengawal inflasi negara itu, jauh lebih tinggi berbanding kadar dasar semalaman (OPR) 2.5 peratus di Malaysia turut menyebabkan ringgit menyusut sebanyak 10.5 peratus dari awal tahun hingga kini.

Ia juga menyebabkan mata wang negara lain turut menyusut, malah ada pada kadar yang lebih tinggi, membuktikan ia adalah satu fenomena global, katanya.

Tengku Zafrul berkata, jelas sekali bahawa kesan peningkatan kadar faedah AS memberi impak kepada kebanyakan negara di dunia, tetapi ini tidak bermakna kesemua negara ini boleh dikira 'gagal', katanya.

Artikel Berkaitan:

"Setiap negara mempunyai cabaran dan dasar-dasar monetari masing-masing, dan nilai mata wang sesebuah negara bukanlah kayu pengukur tunggal untuk menentukan sama ada mereka berhadapan dengan krisis atau tidak.

"Definisi sebenar krisis ekonomi adalah apabila KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) merosot secara mendadak, kadar pengangguran dan kebankrapan meningkat dengan ketara, dan taraf hidup keseluruhan penduduk terkesan manakala definisi krisis kewangan pula adalah apabila sesetengah aset kewangan tiba-tiba susut nilainya secara mendadak dalam masa yang singkat,” katanya.

Beliau berkata, ini termasuk kejatuhan nilai pasaran saham dan mata wang yang mendadak dalam masa yang singkat, serta kegagalan kerajaan untuk membayar hutang negara.

Situasi Malaysia hari ini berbeza jika dibandingkan dengan 1998-1999, 2009, mahupun 2020 dan apa yang dialami negara pada masa ini yang bermula sebagai tekanan inflasi global kini telah menyebabkan ketidaktentuan di pasaran kewangan di serata dunia, katanya.

"Impaknya termasuk pengurangan akses kepada dana, dan juga kadar pembiayaan yang meningkat, yang akan terus menjejaskan lagi ekonomi,” katanya.

Menteri Kewangan berkata, mengambil United Kingdom (UK) sebagai contoh, baru-baru ini kerajaan UK telah mengumumkan langkah pengurangan cukai berjumlah £45 bilion (~RM225 bilion).

Oleh kerana bank pusat England juga telah meningkatkan kadar faedah untuk mengekang inflasi, tindakan pengurangan cukai ini tidak disambut baik oleh peserta pasaran kewangan mahupun pelabur, katanya.

"Akibatnya, pasaran saham dan bon UK telah mengalami kerugian sekitar AS$500 bilion (~RM2.3 trilion). Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah memberi amaran dan mengecam tindakan kerajaan UK yang akan melebarkan lagi jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin.

"Oleh kerana hutang dijangka meningkat untuk menampung pengurangan hasil cukai, agensi penarafan kredit antarabangsa Moody’s telah memberikan amaran bahawa dasar tersebut akan menjejaskan keupayaan kerajaan mereka membayar hutang, manakala agensi penarafan kredit antarabangsa S&P Global Ratings pula baharu sahaja menyemak semula keupayaan mereka membayar hutang daripada ‘stabil’ kepada ‘negatif’,” katanya.

Beliau berkata, begitu juga yang berlaku di AS, keputusan bank pusat yang meningkatkan kadar faedah secara mendadak telah menyebabkan kerugian berjumlah AS$9 trilion (~RM41 trilion) bagi pasaran saham mereka.

"Ini telah menjejaskan simpanan hari tua rakyat AS, dan juga nilai syarikat-syarikat tersenarai mereka.

"Sementara itu, Turkiye pula telah mengambil keputusan yang sebaliknya, iaitu menurunkan kadar faedah beransur-ansur sejak September 2021. Akibatnya, mata wang mereka telah menyusut 52 peratus semenjak kadar faedah mereka diturunkan, manakala inflasi mereka mencatatkan kadar 80 peratus pada Ogos 2022,” katanya.

Beliau berkata, China juga mengalami cabaran dari segi sekuriti makanan dan sektor pertanian akibat kemarau yang berpanjangan manakala India dan Pakistan pula, sebagai antara pengeluar utama makanan dunia, berdepan dengan cabaran getir perubahan iklim seperti banjir besar.

Di negara-negara Afrika, peperangan di Ukraine yang berlanjutan telah mengakibatkan rakyat terputus bekalan makanan akibat kebergantungan mereka terhadap import makanan yang tinggi, malah, harga makanan di sana meningkat hampir 24 peratus dari 2020 hingga 2022, tertinggi semenjak krisis kewangan 2008, katanya.

"Eropah pula kini sedang melalui cabaran bekalan tenaga, terutama dari segi bekalan gas asli bagi memanaskan rumah pada musim sejuk yang akan tiba tidak lama lagi, kerana harga gas asli telah meningkat dua kali ganda semenjak awal tahun akibat bekalan dunia yang terus terjejas.

"Nilai mata wang euro yang terus menyusut berbanding dolar AS akan meningkatkan lagi kos dan merumitkan lagi kemelut bekalan tenaga ini,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kedudukan istimewa dolar AS sebagai mata wang rizab dunia dan dianggap sebagai aset selamat mendorong pelabur global memindahkan dana mereka ke AS dalam keadaan ketidaktentuan, justeru meningkatkan lagi permintaan untuk dolar AS.

Bagaimanapun beliau berkata, pergerakan nilai mata wang sesebuah negara bukanlah kayu pengukur tunggal untuk menentukan sama ada mereka berhadapan dengan krisis atau tidak.

Berdasarkan cabaran-cabaran ini, IMF telah menyemak unjuran pertumbuhan global bagi 2023 daripada 3.8 peratus kepada 2.9 peratus, katanya.

Beliau berkata, IMF juga telah meningkatkan kadar unjuran inflasi mereka kepada 9.5 peratus bagi negara membangun, dan 6.6 peratus bagi negara maju.

Hakikatnya, Malaysia sebagai sebuah ekonomi kecil yang terbuka, tidak terkecuali daripada tempias cabaran-cabaran yang dihadapi oleh seluruh dunia seperti yang dinyatakan tadi, katanya.

"Jumlah dagangan luar Malaysia adalah sekitar RM1.8 trilion bagi lapan bulan pertama 2022, iaitu melebihi 120 peratus daripada KDNK pada 2021.

"Kesemua faktor-faktor ini juga akan memberi impak kepada unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2023, yang dijangka lebih rendah dari 2022.” katanya.

Tambahnya walaupun Bank Dunia menyemak unjuran KDNK tahun ini lebih tinggi, mereka juga terpaksa menurunkan unjuran KDNK tahun hadapan dari 4.5 peratus kepada 4.2 peratus.

"Walaupun lebih rendah, kadar 4.2 peratus tidak langsung memenuhi definisi kemelesetan ekonomi atau krisis, terutama sekali kerana asas-asas ekonomi kita tetap kukuh,” kata menteri.

Beliau berkata sebagai contoh, bagi enam bulan pertama tahun ini, aliran masuk pelaburan asing bersih kekal pada tahap yang memberangsangkan dengan jumlah RM41.7 bilion, manakala jumlah pelaburan yang diluluskan mencatatkan nilai RM123.3 bilion.

Ini melibatkan lebih 1,700 projek dan dijangka mewujudkan lebih 57,000 peluang pekerjaan manakala kadar pengangguran juga terus menurun kepada 3.7 peratus pada Julai 2022, berbanding nilai tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2022, katanya.

Beliau berkata dalam masa yang sama, ringgit juga terus mencatatkan peningkatan berbanding beberapa mata wang negara maju dan membangun yang lain.

Beliau juga berharap semua pihak dapat meneliti fakta-fakta yang diberikan agar dapat sama-sama memahami bahawa ada pelbagai faktor luaran yang bukan dalam kawalan kerajaan, tetapi memberi impak langsung kepada isu nilai mata wang ringgit dan inflasi.

"Seperti yang dinyatakan oleh Bank Dunia baru-baru ini, tiada penyelesaian yang cepat dan mudah kepada situasi ringgit berbanding dolar AS.

"Apa yang boleh dilakukan adalah memberi tumpuan kepada pengukuhan asas ekonomi dan pembaharuan struktur," jelasnya. - Bernama