Masih awal untuk ukur impak Kerajaan Perpaduan terhadap ekonomi

Masih awal untuk mengukur sama ada Kerajaan Perpaduan sekarang memberi lebih kestabilan terhadap persekitaran ekonomi negara. - Gambar hiasan
Masih awal untuk mengukur sama ada Kerajaan Perpaduan sekarang memberi lebih kestabilan terhadap persekitaran ekonomi negara. - Gambar hiasan
A
A
A
MASIH awal untuk mengukur sama ada Kerajaan Perpaduan sekarang yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi lebih kestabilan terhadap persekitaran ekonomi negara, kata agensi penarafan Moody’s.

Penolong naib presiden dan penganalisis kumpulan risiko negaranya, Nishad Majmudar berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada pergolakan politik telah berkurangan atau meningkat di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan, memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru sahaja berlangsung pada November tahun lepas.

"Secara umumnya, memandangkan parameter yang dilaksanakan kerajaan perpaduan dan hakikat bahawa mereka telah mencadangkan satu set pembaharuan fiskal pada tahun ini, itu adalah beberapa petanda yang kami akan lihat sehingga kepada potensinya untuk mengurangkan pergolakan politik.

"Daripada perspektif kami, kami akan melihat kebarangkalian momentum di sebalik beberapa pembaharuan seperti Akta Tanggungjawab Fiskal, sebagai contoh, yang menjadi perhatian utama kami dalam senarai langkah-langkah yang agak mudah untuk dilaksanakan,” katanya semasa sidang meja bulat media maya Moody’s bertajuk "Inside ASEAN: Malaysia” pada Selasa.

Dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, Nishad berkata, suatu yang menarik adalah untuk melihat sejauh mana pilihan raya itu boleh memberi manfaat kepada Kerajaan Perpaduan dari segi kemungkinan modal politik tambahan untuk meneruskan beberapa pembaharuan fiskal tersebut.

Menurutnya, agensi penarafan itu menyedari akan daya tahan institusi dasar ekonomi utama Malaysia, terutamanya memandangkan ketidaktentuan politik sejak PRU14, yang mana institusi seperti Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan (MOF) dapat mencapai objektif dasar mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun berlaku pergolakan politik.

"Adalah penting untuk mengambil maklum bahawa kami ketika ini menilai bahawa pergolakan politik beberapa tahun lepas tidak menjejaskan keupayaan institusi utama seperti BNM dan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan mandat mereka.



"Bagaimanapun, kami menilai bahawa pergolakan itu telah menghalang beberapa pembaharuan lebih mendalam dalam inisiatif fiskal yang dicadangkan oleh kerajaan sekarang dan kerajaan sebelum ini dan ia akan menyokong peningkatan profil kredit," kata Nishad.

Pada masa hadapan, beliau berkata, negara dijangka kekal berada dalam persekitaran politik dan dasar yang agak tidak menentu dengan potensi bertemu jalan buntu.

"Selain itu, kami berpandangan orang ramai akan terus berharap agar sokongan fiskal terhadap ekonomi diteruskan, memandangkan pemulihan yang tidak sama rata di semua segmen masyarakat dan kumpulan pendapatan. Oleh itu, kami fikir akan ada risiko pertumbuhan perlahan,” kata Nishad.

Ini, katanya, akan termasuk beberapa pembaharuan utama iaitu pengembangan asas hasil dalam pelbagai bentuk, seperti, pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), penstrukturan semula subsidi, serta pelaksanaan kembali beberapa peraturan fiskal sebelum Covid-19 seperti siling hutang berkanun pada 55 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Akhir sekali, pembaharuan utama juga termasuk perundangan yang telah dicadangkan dan berpotensi dibentangkan di Parlimen tahun ini tetapi belum menjadi kenyataan seperti Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan,” tambahnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!