Bukan kes culik tapi rebut anak

Video tular kejadian yang berlaku di hadapan sebuah sekolah di Kepala Batas.
Video tular kejadian yang berlaku di hadapan sebuah sekolah di Kepala Batas.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menafikan berlaku kes culik kanak-kanak di hadapan sebuah sekolah di Kepala Batas seperti yang tular di media sosial sejak Khamis.

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad memaklumkan apa yang berlaku hanya kejadian perebutan hak penjagaan anak melibatkan seorang wanita dan bekas menantu perempuannya.

Mohd Radzi berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita terbabit yang menyatakan cucunya berusia sembilan tahun dilarikan oleh bekas menantunya menaiki sebuah kereta di hadapan sekolah kira-kira jam 1.30 petang.

Menurutnya, kejadian itu berlaku selepas kanak-kanak perempuan terbabit pulang dari sekolah

"Dalam kejadian itu, pengadu yang mengalami kecederaan kemudiannya datang ke balai polis membuat laporan untuk tindakan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati perebutan hak penjagaan ini berlaku sejak ibu dan bapa kanak-kanak itu berpisah pada 2013 dan proses tuntutan hak penjagaan masih lagi dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Mohd Radzi berkata, ibu kanak-kanak terbabit juga telah membuat laporan polis dan menyatakan anaknya itu kini selamat di bawah jagaannya selain menyerahkan kes itu kepada peguam dan pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar berkaitan video perebutan hak penjagaan anak itu yang kini tular di media sosial hingga mencetuskan kegusaran awam.