Bukan kes culik tapi penganggur curi barang

Tangkap layar video tular dakwaan culik di sebuah pasar raya.
Tangkap layar video tular dakwaan culik di sebuah pasar raya.
A
A
A

HULU SELANGOR - Polis menafikan dakwaan kejadian kes culik di sebuah pasar raya di Bukit Sentosa di sini pada Ahad seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian itu sebenarnya membabitkan seorang penganggur yang ditahan kerana mencuri barang milik pasar raya terbabit.

"Kita mengesan satu hantaran berserta dua video di Facebook jam 9 pagi ini, video itu memaparkan seorang lelaki ditahan dengan bantuan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Faizal berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang pekerja pasar raya tersebut pada jam 1.07 petang Ahad.

"Kejadian curi itu membabitkan suspek lelaki warga tempatan berusia 33 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Kita membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Bagi kesalahan menularkan video di laman sosial pula disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998," katanya.

Ahmad Faizal berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan individu yang menularkan video terbabit.

"Orang ramai dinasihatkan supaya menghentikan sebarang penyebaran video yang mengelirukan dan menggusarkan orang ramai.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Zulaikha Mohamed (03-60641222) atau balai polis berhampiran," katanya