Tukang besi buat senapang angin ditahan

Mohd Yusri (dua dari kanan) menunjukkan senapang angin yang dirampas daripada tukang besi di Sitiawan.
Mohd Yusri (dua dari kanan) menunjukkan senapang angin yang dirampas daripada tukang besi di Sitiawan.
A
A
A

IPOH - Tindakan seorang tukang besi menghasilkan senapang angin dan pistol mengundang padah apabila dia ditahan dalam Op Tapis Khas Kontinjen Perak baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Mewah Jaya, Sitiawan Isnin lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa belajar menerusi YouTube selama sebulan kerana minatnya terhadap senjata itu untuk kegunaan sendiri.

"Hasil pemeriksaan menemukan tiga laras senapang angin, sepucuk pistol tiruan, balang gas yang diubah suai, gari dan anak kunci gari.

"Polis turut menemukan dadah disyaki methamphetamine seberat 6.34 gram yang bernilai RM350," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Jumaat.

Tambah beliau, suspek direman selama tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, pihaknya turut menahan seorang penganggur berusia 22 tahun yang membawa dadah jenis heroin seberat 4.5 kilogram (kg) di Terminal Bas Meru Jaya, di sini.

"Suspek yang baharu tiba dari Pulau Pinang itu ditahan dan hasil pemeriksaan pada beg galasnya menemukan 10 bungkusan plastik disyaki dadah bernilai RM158,730.

Artikel Berkaitan:

"Suspek yang mempunyai satu rekod lampau bersabit dadah direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952," jelasnya.

Mohd Yusri menunjukkan antara gambar suspek-suspek yang ditahan dalam Op Tapis Khas Kontinjen Perak yang dilakukan seluruh negeri sejak Isnin hingga Rabu lalu.
Mohd Yusri menunjukkan antara gambar suspek-suspek yang ditahan dalam Op Tapis Khas Kontinjen Perak yang dilakukan seluruh negeri sejak Isnin hingga Rabu lalu.

Beliau berkata, Op Tapis yang dilaksanakan selama tiga hari yang berakhir Rabu lalu berjaya menahan 408 individu termasuk 18 wanita berusia 16 hingga 63 tahun yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di seluruh negeri.

Jelasnya, operasi tertumpu di 'port' yang dikenal pasti antaranya kawasan Felda, ladang swasta, kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan jeti nelayan.

"Seramai 34 individu ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 165 individu memiliki dadah dan 188 individu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

"Tujuh individu ditangkap di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 manakala 14 orang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki turut ditahan," ujar beliau.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, sebanyak 35.1kg dadah pelbagai jenis dan daun ketum serta 117.45 liter cecair ketum dengan nilai keseluruhan RM194,091 telah dirampas.

"Polis merampas 5.07kg heroin, 136.31 gram syabu, 24.01 gram ganja, 29.9 kg daun ketum, 117.45 liter cecair ketum, 3.8 gram pil erimin 5, 0.6 gram pil yaba dan 0.85 gram ketamin.

"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak telah menyita dua kereta, empat motosikal dan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM64,018," katanya.