34 nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

Sebuah bot disyaki milik nelayan asing ditahan Maritim Malaysia di perairan Pulau Jarak, Lumut. - Foto ihsan Maritim Malaysia Perak
Sebuah bot disyaki milik nelayan asing ditahan Maritim Malaysia di perairan Pulau Jarak, Lumut. - Foto ihsan Maritim Malaysia Perak
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan 34 nelayan warga Indonesia selepas dipercayai menceroboh dan melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara pada Selasa.

Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya'akup berkata, tiga bot nelayan asing itu ditahan di kedudukan 13 batu nautika perairan Pulau Jarak sekitar jam 6.20 petang.

Menurutnya, kesemua bot itu yang dikendalikan 34 kru termasuk tekong berusia 16 hingga 62 tahun dikesan telah memasuki perairan negara ketika pihaknya melaksanakan rondaan rutin.

"Hasil pemeriksaan mendapati kru bot pukat jerut, bot lampu dan bot nelayan tradisional disyaki dari Indonesia itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tidak memiliki pas yang sah.

"Ketika ditahan, bot pukat jerut ini juga disyaki sedang melakukan aktiviti perikanan di perairan negara tanpa mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kru bot nelayan dari Indonesia ditahan selepas didapati menceroboh perairan negara bagi melakukan aktiviti perikanan di Lumut pada Selasa. - Foto ihsan Maritim Malaysia Perak
Kru bot nelayan dari Indonesia ditahan selepas didapati menceroboh perairan negara bagi melakukan aktiviti perikanan di Lumut pada Selasa. - Foto ihsan Maritim Malaysia Perak

Mohd Hambali berkata, kesemua bot serta kru ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang aduan jenayah dan mengetahui kes kecemasan di laut supaya menyalurkan maklumat ke talian MERS 999 atau menghubungi pusat operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.

Artikel Berkaitan: