Nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan negara

Syed Nor Adli (kanan) memeriksa empat nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh masuk perairan negara pada jarak 161 batu nautika dari Muara Tok Bali, Pasir Puteh pada Sabtu.
Syed Nor Adli (kanan) memeriksa empat nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh masuk perairan negara pada jarak 161 batu nautika dari Muara Tok Bali, Pasir Puteh pada Sabtu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan berjaya menahan empat nelayan asing Vietnam yang menceroboh masuk perairan negara pada jarak 161 batu nautika dari Muara Tok Bali, di sini pada Sabtu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, bot nelayan asing tersebut berjaya ditahan pada jam 10.37 pagi selepas bertindak melarikan diri sebelum itu.

"Semasa melakukan rondaan Op Naga Barat dan Op Kuda Laut kami telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada jam 10.20 pagi.

"Menyedari kehadiran Kapal Maritim (KM) Tok Bali, bot tersebut telah merikan diri ke arah sempadan Vietnam namun gagal apabila berjaya ditahan," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, pada Isnin.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat orang kru termasuk tekong yang masing-masing berumur antara 33 hingga 58 tahun berada di atas bot tersebut.

Ujarnya, kesemua nelayan asing itu juga tidak mempunyai sebarang kebenaran untuk menangkap ikan di perairan perikanan Malaysia.

Syed Nor Adli memberitahu, selain bot pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan, peralatan komunikasi dan navigasi dan bekalan diesel 2,000 liter.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.34 juta.

"Jika disabitkan kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM 600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985," ujarnya.

Menurut beliau, kesemua nelayan asing itu akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.