Dua warga Indonesia antara 9 ditahan jual mercun tanpa permit

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan sembilan individu termasuk dua lelaki warga Indonesia dan merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM30,000 yang dipercayai dijual tanpa permit dalam serbuan di beberapa premis di sekitar Kota Tinggi pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, enam lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua lelaki warga asing berusia 22 hingga 50 tahun itu ditahan antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.

"Hasil serbuan, polis merampas 16 kotak besar dan empat plastik mengandungi pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM30,000 selain dipercayai dijual tanpa permit,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kesemua premis yang diserbu itu juga didapati tidak memiliki permit menjual mercun dan bunga api daripada pihak berkuasa.

Menurut Hussin, semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi dikehendaki polis bersabit kes jenayah komersial.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Hussin berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penjualan mercun secara terbuka tanpa mendapatkan permit daripada pihak polis. - Bernama