4 lelaki ditahan bersama 1.9 juta batang rokok seludup

Mohd Shuhaily (kiri) menunjukkan 1.9 juta batang rokok seludup yang dirampas.
Mohd Shuhaily (kiri) menunjukkan 1.9 juta batang rokok seludup yang dirampas.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menumpaskan sindiket pengedaran rokok haram dengan rampasan 1.9 juta batang rokok bernilai RM764,000 dalam dua serbuan di dua gudang berbeza di Seberang Perai Tengah pada Isnin lalu.

Nilai keseluruhan rampasan rokok seludup termasuk cukai adalah RM2.08 juta.

Dalam operasi 'Op Kontraban' itu, polis turut menahan empat lelaki dari Selangor berusia lingkungan 40 hingga 55 tahun yang merupakan penjaga dan pemandu lori bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan mendapati sindiket itu dipercayai mendapatkan bekalan dari Lembah Klang sebelum dibawa ke gudang di Pulau Pinang menggunakan lori untuk diedarkan di sekitar Seberang Perai.

"Berdasarkan modus operandi, lori itu akan mengambil rokok dari Lembah Klang sebelum membawanya ke Pulau Pinang. Apabila tiba di sini, lori itu akan diletakkan antara 300 hingga 500 meter dari gudang.

"Penjaga gudang yang diupah ini kemudiannya akan memindahkan kesemua rokok seludup tersebut ke gudang untuk disimpan sebelum diedarkan. Risikan mendapati, penghantaran rokok tersebut dibuat dua kali sebulan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Menurut Mohd Shuhaily, tangkapan empat suspek itu dibuat di gudang pertama yang diserbu terletak di kawasan perindustrian ringan Permatang Tinggi.

"Hasil serbuan pertama telah membawa kepada serbuan kedua iaitu gudang di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bukit Tengah. Rokok yang dirampas dari kedua-dua gudang itu disimpan dalam 198 kotak besar yang mengandungi 9,900 karton.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah keseluruhan rokok di dalam 9,900 karton adalah 1.91 juta batang. Sindiket itu dipercayai aktif sejak setahun lalu,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, keempat-empat suspek direman selama 14 hari sehingga 11 Oktober mengikut Seksyen 116C Akta Kastam 1967.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menjual rokok seludup.

"Turut dirampas dalam serbuan itu adalah lima kenderaan, Toyota Altis, Mercedez Benz, Ford Fiesta, Nissan Cefiro dan sebuah lori motor Hino bernilai RM236,000," katanya.

Menurutnya, antara Januari dan September tahun ini, polis melakukan sebanyak 61 serbuan dan menahan 75 orang dipercayai terlibat dalam pengedaran rokok haram.

"Jumlah rampasan rokok yang tidak bercukai adalah berjumlah RM3,037,800," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu melibatkan kes samun memandangkan terdapat peningkatan laporan palsu kes samun di Pulau Pinang.

"Sepanjang Januari hingga September lalu, sebanyak 282 laporan polis melibatkan kes samun dan daripada jumlah itu sebanyak 82 laporan polis adalah palsu.

"Statistik mendapati laporan polis palsu melibatkan kejadian seperti hilang kad pengenalan (52), salah guna wang (10), tuntutan insurans (lima), perselisihan faham keluarga (lima), hilang pasport atau kad UNHCR (empat) dan mengelak dari membayar hutang (tiga), cemburu (satu), fitnah (satu) dan ponteng kerja (satu)," katanya.

Beliau berkata, jika hasil siasatan mendapati, laporan polis itu adalah palsu satu siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah individu tersebut boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.