Lelaki ditahan bersama 874 karton rokok seludup

Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 874 karton rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup bernilai hampir RM180,000, dalam serbuan di sebuah rumah di Bakri, Rabu lepas. - Gambar hiasan
Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 874 karton rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup bernilai hampir RM180,000, dalam serbuan di sebuah rumah di Bakri, Rabu lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

MUAR - Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 874 karton rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup bernilai hampir RM180,000, dalam serbuan di sebuah rumah di Bakri di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Muar, Assiten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, bertindak atas maklumat, individu berumur 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 malam.

Beliau berkata, rokok itu disyaki dijual kepada pekerja ladang dan pekerja kilang warga asing selain turut menjadi pembekal kepada kedai-kedai runcit.

"Modus operandi lelaki terbabit ialah mendapatkan rokok berkenaan dari negara jiran dan menjadikan rumah teres satu tingkat miliknya sebagai stor sebelum diedarkan ke pasaran di sekitar Muar.

"Siasatan awal mendapati dia aktif menjual rokok tanpa cukai ini kira-kira setahun dan bergerak secara sendirian, namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di sini pada Jumaat.

Raiz Mukhliz berkata, lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu juga tiada rekod kesalahan lampau.

Katanya, lelaki itu direman selama lima hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan penyeludupan serta menyalurkan terus maklumat berkaitan kegiatan terbabit kepada pihak polis. - Bernama