Banjir: MBJB bina pembetung sepanjang Sungai Chat

Noorazam (dua dari kiri) bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tiga dari kiri) meninjau keadaan Kampung Mohd Amin yang dilanda banjir kilat pada Ahad.
Noorazam (dua dari kiri) bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tiga dari kiri) meninjau keadaan Kampung Mohd Amin yang dilanda banjir kilat pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan membina pembetung kekotak atau 'wier' di kawasan lembangan Sungai Chat bagi menangani isu banjir kilat di bandar raya ini.

Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, usaha tersebut melibatkan kawasan jajaran lembangan Sungai Chat sepanjang 8 kilometer dari Larkin sehingga Kampung Mohd Amin.

Menurutnya, MBJB juga akan menaik taraf pam air dari dua unit kepada enam unit di Rumah Pam Sungai Chat.

"Dua unit pam berkapasiti 25kwh seunit akan ditambah di tiga kawasan Surau Tambatan, Restoran Malay Village dan Jalan Kampung Mohd Amin.

"Tambahan pembinaan pembetung kekotak di kawasan hulu iaitu di lokasi Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggung Ibrahim dan kawasan pembangunan Pemaju Tanjung Nahkoda.

"MBJB juga akan melaksanakan pembersihan sampah sarap di dan mendapan di dasar Sungai Chat selain melakukan penggalian kolam takungan di Institut Pendidikan Guru Kampus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sungai Chat terletak di tengah kawasan Bandaraya Johor Bahru.
Sungai Chat terletak di tengah kawasan Bandaraya Johor Bahru.

Menurut Mohd Noorazam, MBJB bersedia dari segi tenaga kerja, peralatan dan jentera menghadapi risiko kejadian banjir pada hujung tahun ini.

Katanya, MBJB akan terus memantau lokasi 'hotspot' banjir dalam kawasan Bandaraya Johor Bahru ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan risiko banjir.

"Hujan lebat dengan kadar intensiti melebihi 100milimeter (mm) bermula jam 6.30 pagi hingga 12 tengahari pada Ahad lalu menyebabkan 12 lokasi di pusat bandar terjejas akibat banjir antaranya Kampung Mohd Amin, Jalan Kolam Ayer, Persiaran Abu Bakar Sultan dan Jalan Nong Chik.

"Justeru, MBJB akan terus memantau lokasi 'hotspot' melibatkan tiga lembangan sungai iaitu Sungai Skudai, Selat Johor dan Sungai Tebrau/Plentong. Antara lokasinya ialah Taman Tampoi Indah, Kampung Mohd Amin, Jalan Kolam Ayer, Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan dan Jalan Stulang Darat," katanya.