Tidak tunai manifesto sifat munafik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BAHANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang semakin dirasai menyebabkan parti-parti politik kini sedang sibuk merangka manifesto yang mampu menarik hati pengundi sekali gus mampu memenangkan parti masing-masing.

Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan parti-parti politik membayangkan apa antara yang bakal terkandung dalam manifesto yang bakal diketengahkan pada PRU15. Ada parti yang menekankan soal integriti, ada pula yang mahu memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.

Manifesto ini bagaimanapun janganlah dirangka sekadar dijadikan alat untuk berkempen dan menarik hati pengundi sahaja. Aspek yang paling penting yang perlu diambil kira ialah kemampuan untuk menunaikan manifesto yang dijanjikan. Usah selepas menang pilihan raya pelbagai alasan dan helah diberi apabila gagal menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto.

Bercakap memang mudah, hari ini menang pilihan raya esok nak hapuskan tol, hari ini menang pilihan raya esok harga petrol turun. Tetapi nak hapuskan tol atau turunkan harga petrol tidak semudah dicakap atau dijanjikan. Segala yang hendak dilakukan ada kesannya kepada kewangan kerajaan.

Ambil kira beban kewangan kerajaan perlu ditanggung kerajaan jika hendak menghapuskan tol ataupun menurunkan harga petrol. Berapa pampasan yang perlu dibayar kepada syarikat konsesi lebuh raya jika tol dihapuskan dan berapa subsidi ditanggung kerajaan jika hendak menurunkan harga petrol sehingga RM1.50 seliter misalnya.

Diharap frasa 'manifesto bukan kitab suci' tidak berulang kembali selepas gagal menunaikan janji-janji dalam manifesto yang dijaja ketika berkempen. Betullah manifesto bukan kitab suci al-Quran tapi manifesto itu merupakan janji parti politik dan calon kepada rakyat dan mungkir janji adalah salah satu sifat orang munafik.

Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Tanda orang munafik itu ada tiga keadaan. Pertama, apabila berkata-kata, dia berdusta. Kedua, apabila berjanji dia ingkari. Ketiga, apabila diberikan amanah (kepercayaan), dia khianati”.

Sukakah kita jika digelar parti yang mempunyai sifat orang munafik. Tidak bukan, maka parti-parti yang bakal bertanding pada PRU15 diharap dapat mengetengahkan manifesto yang realistik dan bukannya retorik atau bersifat populis semata-mata untuk memenangi hati pengundi.

Artikel Berkaitan: