KKM bentang hasil kajian libat Seksyen 309 Kanun Keseksaan

Khairy - Foto Bernama
Khairy - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan hasil kajian cadangan pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan membabitkan moratorium (penangguhan) terhadap pendakwaan dan sabitan kesalahan cubaan bunuh diri.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pembentangan itu melibatkan pihak-pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis dalam masa terdekat.

"Kita baharu saja menerima laporan hasil kajian oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan dengan nyahjenayah cubaan bunuh diri," katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan dana bagi Program Kesihatan Mental kepada badan bukan kerajaan (NGO) di sini pada Rabu.

Menurutnya, pada sesi libat urus itu juga, KKM akan menyemak semula Memorandum Jemaah Menteri (MJM) yang telah disediakan untuk dibawa ke kabinet.

"Sekarang kita perlu mendapatkan pandangan polis dan KDN kerana semasa saya bawa MJM ini nampak macam KDN tidak berapa setuju.

"Jadi kita tengoklah sama ada mereka boleh dipengaruhi untuk menyokong usaha KKM ini sebab saya dengar semasa mesyuarat itu pun hujahnya tidak kukuh," katanya.

Draf MJM adalah bagi Memohon Pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk Tidak Menjenayahkan Kesalahan Cubaan Bunuh Diri bagi mendapatkan kelulusan dasar Jemaah Menteri seperti yang telah disarankan oleh pihak AGC.

Sementara itu Khairy berkata, kementerian mengemukakan permohonan peruntukan RM413.58 juta dalam Bajet 2023 bagi memperkasakan perkhidmatan sokongan kesihatan mental, kaunseling dan psikososial di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan 2.5 peratus itu berbanding tahun ini RM408.58 melibatkan pembayaran emolumen dan pelbagai elaun bagi pegawai yang menjalankan perkhidmatan psikiatri, psikologi dan kaunseling di hospital dan klinik.

"Sudah tentu dari masa ke masa untuk cuba meningkatkan lagi perkhidmatan terutama dalam kesihatan mental," katanya

Sebagai contoh, bajet untuk perkhidmatan kesihatan mental iaitu program perkhidmatan sokongan kesihatan mental, kaunseling dan psikososial dari tahun 2021 ke 2022 di mana peningkatan sebanyak 11 peratus.

“Semua ini termasuk termasuk pembayaran gaji kepada pakar dan kakitangan kesihatan mental dan kita akan berterusan meminta peningkatan dalam bajet kesihatan mental,” katanya.

Pada majlis itu, Khairy mengagihkan RM6.2 juta kepada 52 NGO kesihatan mental yang bergiat aktif dalam melaksanakan aktiviti di kalangan masyarakat

Menurutnya, peruntukan yang diberikan oleh kerajaan itu bagi mengukuhkan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial menerusi aktiviti yang dilakukan.

“Saya yakin bahawa agihan bantuan dana kepada NGO-NGO ini akan dapat membantu usaha dalam melaksanakan aktiviti kesihatan mental secara efektif dan bersepadu kepada masyarakat.

“Saya juga ingin ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua NGO yang terlibat dan KKM berterima kasih kepada sumbangan dan tanggungjawab sosial yang telah dilaksanakan.

“KKM akan terus menyokong NGO-NGO yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti kesihatan mental di peringkat lapangan demi kesejahteraan mental masyarakat,” katanya.