Pindaan kanun permulaan baik buat mangsa scam

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Hishamuddin)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Hishamuddin)
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan wang yang dirampas daripada jenayah penipuan dalam talian (scam) dipulangkan lebih awal kepada mangsa disifatkan permulaan yang baik.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ramai mangsa berada dalam keadaan terdesak, termasuk ada yang terpaksa meminjam daripada Along.

“Ia satu keputusan bijak kerana jangka masa rayuan dan perbicaraan kes mengambil masa yang lama.

“Sedangkan keadaan kewangan mangsa berada pada tahap kritikal. Jadi, kalau kita boleh cari mekanisme daripada sudut perundangan dalam pindaan Kanun Tatacara Jenayah sedia ada, ia akan meringankan bebanan ditanggung mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa keputusan kerajaan memutuskan untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah.

Pindaan itu membolehkan mangsa mendapat semula dana yang dicuri dengan syarat pemberian bon disediakan sementara menunggu perbicaraan di mahkamah.