'Rakam video longkang tersumbat untuk tindakan' - KDEBWM

Notis yang dikongsi di laman Facebook KDEBWM.
Notis yang dikongsi di laman Facebook KDEBWM.
A
A
A

SHAH ALAM - Warga Selangor yang berdepan isu longkang tersumbat boleh merakam video berdurasi 10 saat dan menghantarnya ke talian hotline KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) untuk diambil tindakan.

Syarikat pengurusan sisa itu memaklumkan talian WhatsApp 019-2742824 diaktifkan sejak 15 September lalu sebagai persiapan menghadapi banjir berikutan hujan lebat mulai November seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Ini bagi memastikan sistem saliran longkang yang baik dan persiapan menghadapi banjir pada November ini yang diramal MetMalaysia.

"Pihak KDEB Waste Management meminta orang ramai di Selangor melaporkan keadaan longkang tersumbat di kawasan anda dengan menghantar video lokasi berdurasi sekurang-kurangnya 10 saat ke nombor WhatsApp kami.

"Terima kasih rakyat Selangor," kata KDEBWM menerusi satu notis yang dikongsi di laman Facebook KDEBWM.

KDEBWM turut menggesa orang ramai memastikan tiada sampah di dalam longkang dan tidak menimbun sampah berhampiran longkang bagi mengelak ia daripada terjatuh.

Agensi itu turut meminta orang ramai supaya tidak menyalurkan air sisa isi rumah mereka terus ke longkang kejiranan.

MetMalaysia sebelum ini meramalkan tempoh Monsun Timur Laut akan membawa hujan lebat berterusan bermula pertengahan November dan berkemungkinan membawa kepada banjir besar.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat juga ribut petir bertaburan, membawa angin kencang, hujan lebat dan banjir kilat pada Oktober," kata MetMalaysia dalam satu kenyataan.