Kanak-kanak jadi ‘hero’ selamatkan rakan daripada diculik

Gambar hiasan - Foto 123RF (Gambar kecil: Azli Mohd Noor)
Gambar hiasan - Foto 123RF (Gambar kecil: Azli Mohd Noor)
A
A
A

LIPIS - Seorang kanak-kanak berjaya menggagalkan cubaan penculikan terhadap kawannya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain bola di padang Sekolah Kebangsaan Jeram Landak di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.15 petang yang turut ditularkan di media sosial.

Menurutnya, ibu (pengadu) kepada kanak-kanak yang berjaya membantu menggagalkan cubaan itu telah membuat laporan polis pada 26 September kira-kira jam 1.50 petang.

"Berdasarkan keterangan pengadu, mangsa merupakan kawan anaknya dan kejadian berlaku kira-kira jam 7.15 petang ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain bola sepak di padang sekolah.

"Suspek dipercayai menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna merah, namun nombor pendaftaran gagal dipastikan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Azli berkata, suspek melarikan diri selepas gagal menculik mangsa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana menculik dari penjagaan sah," katanya.

Sementara itu, Azli menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya segera melaporkan kepada polis jika ada maklumat atau melihat individu mencurigakan di kawasan kejiranan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat boleh terus disalurkan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di talian 09-3121999," katanya.