Tiada kes culik, jual organ kanak-kanak: PDRM

PDRM
PDRM
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu berhubung kejadian penculikan kanak-kanak yang dijual ke negara jiran bagi tujuan pemindahan organ.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, mesej yang tular di media sosial itu mendakwa mangsa akan diberikan bahan terlarang yang menyebabkan mereka tidak boleh bercakap.

"Mesej itu juga mendakwa pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menjumpai enam orang kanak-kanak.

"Semakan mendapati mesej palsu itu telah tular sejak tahun 2017 dan kembali diulang siar menerusi beberapa platform media sosial," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Skandaguru berkata, PDRM tidak pernah menerima sebarang laporan berkaitan kejadian penculikan kanak-kanak untuk penjualan organ seperti yang didakwa mesej terbabit.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tidak berasas yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

"Individu yang dikesan menyebarkan berita palsu boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian," tegas beliau.

Artikel Berkaitan: