Scammer tak boleh bermaharajalela lagi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AKHIRNYA selepas kes penipuan dalam talian makin menjadi-jadi, Bank Negara Malaysia (BNM) mengarahkan bank beralih daripada penggunaan sistem kata laluan sekali sahaja (OTP) kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh.

Peralihan sistem itu merupakan satu daripada lima langkah kawalan tambahan yang perlu diambil institusi kewangan bagi mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan kewangan terutamanya dalam talian seperti yang diumumkan BNM pada Isnin.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, langkah kawalan tambahan itu termasuklah memperketatkan peraturan pengesanan penipuan dan bertindak menyekat transaksi disyaki terlibat dengan penipuan.

Meskipun scammer pastinya mempunyai 1,001 helah untuk terus memperdaya mangsa, namun langkah terbaharu itu pastinya sedikit sebanyak akan menyukarkan kerja jahat mereka.

Sebelum ini, scammer sangat mudah menipu mangsa dengan memanipulasi penggunaan OTP yang dihantar menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Dalam rata-rata kes yang dilaporkan, modus operandi penipuan itu menggunakan OTP hingga wang dalam akaun bank mangsa hilang secara tiba-tiba.

Ekoran itu, sebelum ini beberapa pemimpin termasuk Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil turut menggesa bank mengubah sistem pengesahan bagi perbankan dalam talian.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, setiap tahun secara purata 20,000 orang menjadi mangsa scammer dan lebih RM660 juta dicuri kumpulan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang menjadi mangsa bukan setakat warga emas malah golongan profesional seperti pakar perubatan.

Lebih meresahkan pengguna, setiap kali kes penipuan berlaku bank dilihat hanya diam membisu seolah-olah tiada langkah yang benar-benar berkesan boleh diambil untuk mengatasi masalah yang kian parah itu.

Sebuah portal berita pada 8 September lalu turut melaporkan orang ramai mula fobia dan takut untuk membuat simpanan di dalam bank kerana walaupun telah mengambil langkah berjaga-jaga, namun tetap ramai yang menjadi mangsa scammer.

Oleh itu, pengumuman BNM tentang lima langkah kawalan tambahan untuk melindungi pengguna itu dapat mengurangkan keresahan pengguna yang sekian lama 'dibelenggu' ketakutan dengan aktiviti scammer.

Pengguna pastinya lega kerana kini scammer tidak lagi boleh bermaharajalela seperti sebelum ini.

Namun, diharap pada masa sama, langkah berterusan diambil pihak bank bagi memastikan pengguna terus dilindungi walaupun scammer mengubah operandi mereka selepas ini.