[VIDEO] Murid Tahun 2 dakwa nyaris diculik

Ahmad bersama anak lelakinya ketika ditemui pemberita di Pasir Puteh selepas didakwa nyaris diculik di hadapan sekolahnya di Selising pada Ahad.
Ahmad bersama anak lelakinya ketika ditemui pemberita di Pasir Puteh selepas didakwa nyaris diculik di hadapan sekolahnya di Selising pada Ahad.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang murid lelaki Tahun 2 berdepan detik cemas apabila mendakwa dia nyaris diculik di hadapan sekolahnya di Selising pada Ahad.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 8 tahun telah didatangi oleh sebuah kereta yang dinaiki oleh empat lelaki dewasa semasa sedang menunggu ibunya di luar kawasan sekolah.

Bapa kepada kanak-kanak berkenaan, Ahmad Ismail,57, berkata, semasa kejadian anak kelima daripada enam beradik itu sedang menunggu ibunya di luar sekolah selepas kelas fardu ain.

"Tiba-tiba datang sebuah kereta dan lelaki di dalamnya memanggil anak saya. Mereka memberitahu hendak menjemput dia balik ke rumah.

"Lelaki berkenaan memberitahu yang saya dan isteri tidak dapat datang mengambilnya disebabkan kami ke klinik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Isnin.

Ahmad memberitahu, disebabkan rasa takut dan tidak mengenali kumpulan lelaki terbabit anaknya terus berlari masuk ke dalam kawasan sekolah dan menuju ke pondok pengawal untuk menyelamatkan diri.

Katanya, kejadian tersebut diketahui oleh dia dan isterinya pada sebelah malam selepas diceritakan kembali.

Dia yang bimbang tentang kejadian terbabit telah membuat satu hantaran di Facebook peribadinya untuk berkongsi perasaan dan pada masa yang sama mengingatkan ibu bapa lain supaya lebih berhati-hati.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah anak tidak mengalami trauma kerana sebelum ini saya dan isteri sentiasa mengingatkan dia supaya berhati-hati dan tidak melayan orang yang tidak dikenali," katanya.

Ahmad telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh pada Isnin sekitar jam 12 tengah hari untuk langkah keselamatan berhubung perkara itu dan memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan.

Sebelum itu, hantaran Facebook Ahmad telah tular di media sosial dan WhatsApp berhubung kejadian dakwaan anaknya nyaris diculik.